Kerja tanah tidak sah, MBPP bakal ambil tindakan tegas, bersepadu

Admin

BATU UBAN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bakal mengambil tindakan tegas secara bersepadu terhadap kerja-kerja tanah yang dipercayai dilakukan secara tidak sah di daerah Timur Laut.

 

Dalam satu tinjauan di Bukit Botak oleh Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang semalam, mendapati kebanyakan kerja-kerja tanah yang dijalankan secara tidak sah telahpun menerima arahan henti kerja sebelum ini. namun pemaju tetap berdegil.

 

“Tindakan (sebelum ini) telahpun diambil tetapi nampaknya kurang berkesan, arahan pemberhentian kerja (SWO) telah dikeluarkan.

 

“Tindakan mahkamah juga telah diambil, tetapi nampaknya masih kurang berkesan, aktiviti kerja-kerja tanah seperti yang kita lihat tadi masih diteruskan.

 

“Maka, kita (MBPP) akan duduk berbincang bagi mencari solusi dengan mengambil tindakan yang lebih bersepadu, tegas dan lebih berkesan,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara sejurus tinjauan dekat sini, semalam.

 

Mengulas lanjut, Tung Seang tidak menolak kemungkinan akan menggunakan peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kepada pemaju ‘degil’.

 

“Selain itu, kita (MBPP) juga akan meneliti Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 untuk mengambil tindakan terhadap pemaju yang melakukan kerja-kerja tanah di sini dan semua sekali akan dilakukan secara bersepadu untuk menghentikan terus kerja-kerja di sini,” tambah beliau lagi.

 

Terdahulu, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari dalam sidang media di Komtar pada 13 Ogos 2020 turut mengumumkan mengenai pindaan ke atas Undang-Undang Kecil (UKK) Mengkompaun Kesalahan-Kesalahan di bawah Akta 133 bagi mengenakan kompaun yang lebih berat atas ketidakpatuhan garis panduan kerja tanah.

Difahamkan, tarikh kuat kuasa UUK akan bermula pada 1 September 2020 ini yang mana kadar kompaun dikenakan tidak kurang daripada RM75,000 dan tidak melebihi RM250,000 untuk setiap kesalahan sekiranya penyelia gagal menyelia tapak dan berlaku keruntuhan.

 

Bagi kesalahan menjalankan kerja tanah tanpa kebenaran bertulis Pihak Berkuasa Tempatan atau tidak mengikut Pelan Kerja Tanah diluluskan, kompauan tidak kurang RM7,500 dan tidak melebihi RM25,000 setiap kesalahan.

 

Serta kompaun tidak kurang daripada RM1,500 dan tidak melebihi RM5,000 untuk ketidakpatuhan dengan kehendak notis yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

 

Pewartaan tersebut sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan Negeri komited dalam menguatkuasakan pematuhan garis panduan kerja-kerja tanah di semua projek pemajuan dan mampu membendung masalah berkaitan seperti banjir lumpur, pencemaran kelodak, runtuhan cerun dan hakisan.

 

Dalam tinjauan tersebut, didapati terdapat gangguan terhadap saliran air, kerja-kerja membuat jalan konkrit dan pembinaan teres.

 

“MBPP akan mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang ingkar agar masyarakat tidak memberikan persepsi yang negatif terhadap pihak majlis dalam menangani isu kerja-kerja tanah berisiko seperti di sini,” katanya.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD