Kerja ubahsuai premis, rumah perlu lekat Pelekat Pemberitahuan MPSP

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ

SOON Lip Chee (kiri sekali) bersama Ahli Majlis MPSP, Ahmad Farid (tengah) menunjukkan salah satu contoh pelekat yang dilekatkan di pintu hadapan sebuah rumah di Seberang Perai.
SOON Lip Chee (kiri sekali) bersama Ahli Majlis MPSP, Ahmad Farid (tengah) menunjukkan salah
satu contoh pelekat yang dilekatkan di pintu hadapan sebuah rumah di Seberang Perai.

SEBERANG PERAI – Satu cadangan baru berkenaan Pelekat Pemberitahuan dan Peringatan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bagi menyampaikan maklumat kepada pemilik premis baru serta mengurangkan binaan tanpa kebenaran telah dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit mulai awal tahun ini di sini.

Tujuan pelekat tersebut  diwujudkan adalah bagi menyampaikan maklumat kepada pemilik dan isi rumah supaya berhubung dengan MPSP terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang pengubahsuaian pada premis, sekaligus, mengurangkan pertumbuhan kerenah birokrasi serta mencegah binaan tanpa kebenaran daripada terus berleluasa.

Binaan tanpa kebenaran merupakan salah satu isu utama Jabatan Bangunan MPSP di mana perkara ini menyumbang ke arah peningkatan mendadak aduan yang agak sukar diselesaikan.

Antara punca utama mengapa binaan tanpa kebenaran berleluasa adalah ekoran pemilik premis kurang pengetahuan keperluan untuk mendapat kelulusan, sekaligus, menangkis persepsi salah mengenai lambat serta sukar untuk mendapat kelulusan.

CONTOH Pelekat Pemberitahuan MPSP.
CONTOH Pelekat Pemberitahuan MPSP.

Terdapat juga kes di mana pemilik premis tidak tahu ke mana dan dengan siapa perlu berurusan untuk mendapatkan  maklumat yang tepat. Di samping itu, ada juga maklumat salah yang disampaikan oleh pihak ketiga atau kontraktor binaan kepada pemilik premis.

Menurut jurucakap MPSP, Soon Lip Chee, sehingga kini, terdapat 1,575 kes binaan tanpa kebenaran dilaporkan di daerah Seberang Perai.

“ MPSP sentiasa menyuarakan agar sesiapa yang membeli rumah atau kedai, perlu memasuki plan bangunan jika mahu membuat sebarang pengubahsuaian. Kemudian, Jabatan Bangunan MPSP akan memproses permohonan tersebut sama ada diluluskan ataupun tidak,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, banyak aduan diterima daripada jiran-jiran bahawa berlakunya pengubahsuaian yang tidak mengikut pelan, binaan melampau, menghalang jalan dan sebagainya.

“Oleh itu, pada bulan Disember 2011, pihak MPSP telah membuat keputusan untuk menguatkuasakan pelekat pemberitahuan yang perlu dibeli oleh setiap pemaju perumahan, perindustrian atau perniagaan untuk ditampal di pintu masuk setiap premis baru.

“Pelekat perlu dibeli mengikut unit premis yang didirikan. Jika terdapat 300 unit premis, maka perlu membeli 300 pelekat dengan harga RM5 setiap satu serta bayaran ditanggung sepenuhnya oleh pemaju,” tambah Lip Chee lagi.

Jika didapati pemaju gagal memenuhi syarat yang telah ditetapkan, maka, denda sehingga 10 kali ganda di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) boleh dikenakan.

“Tujuan kita (MPSP) mengadakan undang-undang baru ini bukan untuk membebankan pemaju, sebaliknya, mendidik mereka supaya mendapat maklumat yang lebih jelas di samping menjaga kepentingan warga Seberang Perai,” tambah beliau lagi.