PAYA TERUBONG – Kerjasama antara agensi-agensi penguat kuasa dan orang ramai adalah penting dalam memastikan objektif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dicapai.
Perkara tersebut ditegaskan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam sidang media pada sesi lawatan persediaan penguatkuasaan PKPD dekat Flat Persiaran Paya Terubong, Relau di sini tadi.
“Memandangkan PKPD bakal dikuatkuasakan selama dua minggu mulai tengah malam (12:01 minit tengah malam ini) hingga 20 Disember 2020, maka kerjasama pihak awam dengan orang ramai adalah amat penting bagi memastikan segala kerja wajib (saringan) yang perlu dilakukan di kawasan yang dikenakan PKPD ini mencapai matlamatnya.
“Perintah ini (PKPD) yang mana melarang sama sekali penduduk di sini keluar daripada kawasan perintah ini adalah bertujuan memutuskan rantaian COVID-19 iaitu penularan dalam komuniti.
“Diharapkan dalam tempoh dua minggu ini kerja-kerja wajib seperti saringan terhadap para penduduk disasarkan untuk mengesan kes positif dapat dilaksanakan dan seterusnya menerima rawatan di hospital ataupun pusat rawatan berisiko rendah,” ujarnya.
Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Asmayani Khalib; Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Abdul Aziz Abdul Majid; Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang, Nazrul Fazami Mohamad; Ketua Polis bagi Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah dan Pegawai Daerah bagi Daerah Timur Laut, Rosli Halim.
Selain itu, Kon Yeow turut menyeru orang ramai agar tidak mudah percaya dan menyebarkan berita palsu yang bukan daripada sumber rasmi kerana perbuatan tersebut akan menjejaskan usaha melawan pandemik COVID-19.
Selain Flat Persiaran Paya Terubong di Relau, satu lagi lokaliti dikenakan PKPD adalah dekat Desa Bestari Batu Uban.
Kerajaan Negeri dalam pada itu turut menyumbangkan 4,000 keping pelitup muka dan pensanitasi tangan kepada barisan hadapan yang bertugas di kedua-dua kawasan PKPD berkenaan.
Dalam pada itu, Soffian memberitahu bahawa seramai 250 anggota dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terlibat dalam penguatkuasaan di kedua-dua lokasi berkaitan.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa PKPD di Persiaran Paya Terubong adalah melibatkan 10,000 penduduk di 13 blok manakala Desa Bestari (2,000 penduduk).
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD