GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mahu Pulau Pinang memanfaatkan kepakaran yang ditawarkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam memajukan sektor-sektor berkaitan di negeri ini.
Ini ekoran menurut beliau, kursus-kursus yang ditawarkan di UiTM Pulau Pinang sememangnya berkait dengan sektor ekonomi di sini.
“Saya akan minta semua jabatan peringkat negeri untuk melihat peluang-peluang kerjasama dan kolaborasi dengan UiTM Pulau Pinang berhubung program-program yang mampu membawa manfaat dan kemajuan daripada segi ekonomi seperti industri, pelancongan serta perubatan.
“Saya melihat kepada kerjasama peringkat Kerajaan Negeri melalui pejabat-pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) contohnya dalam bidang kulinari yang merangkumi kursus barista dan boleh diadakan pada peringkat komuniti serta berdasarkan kursus-kursus ditawarkan di UiTM Pulau Pinang,” ujarnya ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi UiTM Pulau Pinang di pejabatnya di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin; Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Prof. Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali; Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik), Prof Madya Ir. Ts. Dr. Siti Noraini Sulaiman; Timbalan Rektor (Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni), Prof. Madya Ts. Dr. Kay Dora Abd. Ghani dan delegasi yang lain.
Antara kursus yang boleh dimanfaatkan untuk kerjasama dua pihak adalah kejuruteraan, hotel, kulinari dan pengurusan pelancongan (Permatang Pauh) serta sains kesihatan dan farmasi (Bertam).
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT