Kerjasama demi capai sasaran dadah terkawal 2025

Admin

PENANTI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan bahawa keluarga merupakan salah satu elemen paling penting bagi membantu seseorang menjadi insan yang lebih baik.

 

 

Justeru, menurut beliau, adalah amat penting bagi setiap keluarga mempunyai nilai-nilai yang sihat bagi melahirkan masyarakat madani.

 

 

“Setiap dari kita di sini pasti ada melakukan kesalahan sama ada kesalahan kecil atau (kesalahan yang) besar, terima kasih kepada keluarga yang sanggup meluangkan masa ke program ini.

 

 

“Di pihak Kerajaan Negeri, kita ada Visi Penang2030 yang memberi fokus kepada keluarga, dan daripada 13 negeri  di Malaysia, Pulau Pinang merupakan negeri yang memberi fokus kepada kesejahteraan keluarga dan bantuan demi memastikan institusi keluarga berfungsi dengan baik termasuk bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi pelaksanaan tugasnya di sini.

 

 

“Kerjasama tersebut sudah lama terjalin walaupun sebelum ini dalam kerajaan berlainan, Kerajaan Negeri telah menyalurkan kerjasama termasuk peruntukan kepada AADK untuk membantu klien-klien yang berdepan cabaran,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Anjung Komuniti dan Jamuan Komuniti bersempena Jelajah Ketua Menteri ❤️PENANG 2.0 Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penanti dekat Taman Seri Akassia di sini.

 

 

Difahamkan, usaha-usaha Penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi Penagihan Dadah sejak 2019 telah dijalankan dengan peruntukan daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM318,000 yang mana ia merupakan usaha Kerajaan Negeri melalui AADK dan Kementerian Dalam Negeri untuk mencapai Sasaran Dadah Terkawal 2025.

 

 

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh; Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin; ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil; Pengarah AADK Pulau Pinang, Elmariah Chung dan pemimpin-pemimpin peringkat komuniti setempat.

 

Bersempena program tersebut, Kon Yeow turut memyempurnakan penyerahan simbolik Anjung Komuniti Kawasan Berisiko Tinggi Penagihan Dadah kepada empat daerah iaitu Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.

 

 

“Saya difahamkan bahawa sebanyak enam buah Anjung Komuniti telah diwujudkan dan salah satunya ialah Anjung Komuniti Kuala Mengkuang Mukim 19, Seberang Perai Tengah.

 

 

“Anjung Komuniti yang diwujudkan ini menyediakan pusat maklumat anti dadah, aktiviti pencegahan dadah, khidmat nasihat dan advokasi, aduan serta penyaluran maklumat anti dadah, program rawatan dan pemulihan dalam komuniti.

 

 

“Perkhidmatan jabatan dan agensi lain juga disediakan melalui Anjung Komuniti secara berkala, dan Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM 61,800 bagi mencapai tujuan berkenaan,” ulasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR