Kerjasama dengan MAQIS pastikan kelangsungan sumber makanan negeri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd. Talib di pejabat beliau dekat Komtar pada 8 April 2022.

Turut mengiringi, Penolong Pegawai Penguatkuasa MAQIS Negeri Pulau Pinang, Fatin Najwa Hamid.

Dalam pertemuan selama 30 minit itu, Muhammad Ikram berkongsi mengenai cadangan mewujudkan pusat sehenti kuarantin bagi benih-benih ikan dari luar negara di negeri ini bagi mengekang penyakit berjangkit melalui hasil laut.

Malah, turut dikemukakan beliau adalah cadangan membangunkan fasiliti pendaratan ikan tuna di negeri ini yang dilihat mempunyai potensi besar.

“Peluang ini diambil bagi menjelaskan mengenai fungsi, hala tuju serta cabaran penguatkuasaan semasa MAQIS terutamanya melibatkan aktiviti import dan eksport di pintu-pintu masuk utama termasuk sempadan, pelabuhan serta lapangan terbang di Pulau Pinang.

“Kebimbangan kini tertumpu kepada produk makanan dari luar negara yang mana terbaru pihak MAQIS berjaya merampas produk makanan proses berasaskan khinzir yang dicemari penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” ujarnya dalam pertemuan berkaitan di sini.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyambut baik usaha MAQIS (Negeri Pulau Pinang) sehingga kini memandangkan pertanian merupakan salah satu sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga bersedia membantu pihak berkaitan (MAQIS) dalam memastikan kelangsungan sumber makanan di negeri ini,” jelasnya.

Muhammad Ikram sebelum ini berkhidmat di Putrajaya dan dilantik sebagai Pengarah MAQIS Negeri Pulau Pinang berkuat kuasa pada 16 Ogos 2021.

MAQIS adalah jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang terlibat dengan aktiviti penguatkuasaan undang-undang berdasarkan Akta 728 (Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011). Pihak berkaitan sentiasa menjalankan pemeriksaan terhadap keluaran pertanian yang masuk dalam negara bagi memastikan keluaran pertanian diimport mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan demi menjamin keselamatan makanan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI