GEORGE TOWN – Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang yang baharu, Roswati Apin berharap kerjasama erat badan tersebut dengan Kerajaan Negeri dapat diteruskan lagi.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat Komtar di sini sebentar tadi.
“Saya difahamkan bahawa sebelum ini, kerjasama AADK dan Kerajaan Negeri sangat baik di bawah mantan Pengarah (Elmariah Chung).
“Diharapkan hubungan baik dan kerjasama ini dapat diteruskan lagi ke arah lebih positif,” ujarnya.
Hadir sama, Pengarah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bukit Mertajam, Wan Madihi Wan Salleh dan Pengarah PUSPEN Kampung Selamat, Wan Helmy Wan Ab. Rahman.
Ditanya oleh Kon Yeow berkenaan jumlah klien semasa, Roswati memaklumkan bahawa di Pulau Pinang terdapat lebih 11,000 klien AADK yang ditempatkan di PUSPEN seluruh negeri.
“Daripada jumlah ini sebenarnya terdapat klien yang datang dari luar Pulau Pinang seperti Kedah dan Perak.
“Daerah Timur Laut (DTL) mencatatkan kes dadah tertinggi manakala Seberang Perai Tengah (SPT, kedua,” katanya yang sudah memulakan tugas selama tiga minggu di negeri ini.
Roswati yang berasal dari Ranau, Sabah sebelum ini berpengalaman sebagai Pengarah PUSPEN Papar, Sabah, Pengarah PUSPEN Bukit Mertajam dan juga Pengarah Pusat Latihan AADK Malaysia.
Selamat Menjalankan Tugas!
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD