Kerjasama gerak kempen semai kesedaran lawan jenayah

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat daripada delegasi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang di pejabatnya dekat sini sebentar tadi.

 

Delegasi yang diketuai oleh Pengerusi MCPF Pulau Pinang, Dato’ Ong Poh Eng mengadakan perbincangan dua hala mengenai perlakuan jenayah termasuk di alam siber.

 

Antara lain, pertemuan 30 minit itu turut berkisar mengenai kempen-kempen serta kerjasama yang mampu digerakkan dalam menyemai kesedaran melawan kegiatan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah yang dikenal pasti menjadi punca kegiatan-kegiatan salah laku yang menyalahi undang-undang.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi MCPF Pulau Pinang, Dato’ Seri K. Pulayantran; Setiausaha MCPF Pulau Pinang, Johnny Michael Tan dan Ahli-ahli Jawatankuasa MCPF Pulau Pinang.

 

Ditubuhkan pada tahun 1993, MCPF merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk memupuk kesedaran awam tentang jenayah, mengadakan forum melibatkan orang awam dan badan-badan kerajaan dalam mencapai indeks jenayah stabil bagi mengekalkan keamanan.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD