Kerjasama jentera Perpaduan penting pastikan kemenangan tiga DUN di Nibong Tebal

Admin

JAWI – Semua jentera di bawah payung Kerajaan Perpaduan perlu bekerjasama bagi memastikan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Nibong Tebal kekal menjadi milik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Tiga kerusi DUN berkenaan adalah Jawi yang ditandingi calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), Sungai Acheh (BN) dan Sungai Bakap (Parti Keadilan Rakyat, PKR).

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata bahawa kemenangan ketiga-tiga kerusi yang sebelum ini dimenangi wakil rakyat PH itu penting dalam memastikan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang terus mentadbir negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Chow Kon Yeow merasmikan pembukaan Pusat Operasi PH Jawi.

“Di Jawi keadaan amat jelas kerana kita sudah menang di DUN ini selama tiga penggal, dan saya berharap dengan rekod perkhidmatan cemerlang wakil DAP di sini dapat memberikan keyakinan penuh kepada rakyat untuk terus memberikan sokongan kepada PH.

“Walaupun pada PRN lepas kita menang tiga kerusi di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) tetapi dengan mengambil kira pergolakan politik yang berlaku sebelum ini, dua kerusi iaitu DUN Sungai Acheh dan Sungai Bakap kini menjadi kerusi marginal.

Chow Kon Yeow bersama-sama calon ADUN Jawi menyantuni pengundi.

“Oleh itu, kita perlu bekerja keras atas prinsip kerjasama Perpaduan bagi memastikan peralihan undi daripada penyokong PH kepada calon BN dan begitu juga sebaliknya,” katanya semasa berucap pada majlis Pelancaran Pusat Operasi PH N19 Jawi dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye serta beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata, kemenangan ketiga-tiga kerusi DUN tersebut juga amat penting dalam memastikan pembentukan Kerajaan Negeri yang lebih kuat dan stabil.

“Pembentukan Kerajaan Negeri yang stabil penting untuk memenangai keyakinan rakyat selain memastikan projek-projek yang telah dirancang dapat berjalan dengan lancar.

“Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha untuk mencapai dua matlamat iaitu mempertahankan DUN Jawi dan membantu PH serta BN di DUN Sungai Acheh dan Sungai Bakap,” serunya lagi.