GEORGE TOWN – Selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi Persekutuan dalam usaha membantu serta melindungi kebajikan warga emas di negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pendekatan tersebut termasuk memberi peluang kepada warga emas untuk menikmati pelbagai bantuan kebajikan yang ada di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri pula, melalui Program (Penghargaan) Warga Emas, kita (Kerajaan Negeri) telah menambah baik nilai bantuan kepada RM150 setahun yang mana kumpulan pertama akan menerimanya pada Mac tahun ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan angpow kepada kira-kira 2,000 warga emas terpilih sempena menyambut kedatangan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.
Turut berucap, Presiden Che Hoon Khor Moral Uplifting Society Penang, Datuk Seri Lim Cheah Chooi selaku penaja utama pemberian angpow pagi ini.
Difahamkan, sebanyak 10 rumah kebajikan terpilih di negeri ini dipilih untuk menerima sumbangan sebanyak RM15,000 bagi setiap rumah kebajikan hasil kutipan daripada pesta jualan makanan anjuran Che Hoon Khor Moral Uplifting Society Penang.
Antaranya, The Penang Home for the Infirm and Aged; Persatuan Kesihatan Jiwa Pulau Pinang; Rumah Sejahtera Permatang Tinggi; Persatuan Pemulihan Orang-orang Cacat Negeri Pulau Pinang; Persatuan Pengajian Sadhu Vaswani dan Pertubuhan Perlindungan Kanak-kanak Pulau Pinang.
Selain itu, pihak Che Hoon Khor Moral Uplifting Society Penang juga akan mengunjungi empat rumah kebajikan terpilih bagi menyampaikan sumbangan.
Persatuan berkaitan adalah Little Sister of the Poor; Relau Charis Home; Silver Jubilee Home dan The Penang Home for the Infirm and Aged.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut memuji usaha yang dilakukan oleh Che Hoon Khor Moral Uplifting Society Penang dalam membantu golongan yang memerlukan acapkali tibanya musim perayaan.
“Saya berharap, bagi tahun-tahun akan datang semua dapat menikmati pembangunan yang lebih baik di negeri ini,” zahirnya yang juga berkesempatan mengucapkan ‘Selamat Menyambut Tahun Baru Cina’ kepada hadirin.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI