Kerjasama MPKK dan KRT mampu jayakan agenda komuniti setempat – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ni menerima kunjungan hormat delegasi daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara & Kesejahteraan Sosial), Datuk Wira Dr. Md. Farid Md. Rafik di pejabatnya dekat Komtar.

Antara anggota delegasi lain yang turut sama, Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri, Abdul Fatah Mohd. Pilus; Setiausaha Sulit Timbalan Menteri, Mohd. Azmi Ali; Pengarah Perpaduan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Saidi Midin serta Pengarah Bahagian Perhubungan Masyarakat dan Kejiranan mewakili Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Rajali Mudin.

Dalam pertemuan itu, Md. Farid memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang berusaha memantapkan fungsi dan peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Menurutnya, KRT perlu memainkan peranannya bukan sahaja dalam menjayakan aktiviti perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat, malah juga menyatupadukan masyarakat setempat agar lebih harmoni dan sejahtera.

Selain itu, dengan adanya Skim Rondaan Sukarela (SRS), ia akan membantu KRT dalam menangani masalah sosial dan jenayah kecil di kawasan berkaitan.

“Pasukan di bawah SRS ini berkolaborasi dengan pihak polis untuk membuat rondaan berkala dan juga bagi mengurangkan berlakunya kes-kes jenayah kecil di kawasan setempat.

“Malah, fungsi KRT dan SRS bukan sahaja untuk keselamatan penduduk tetapi pada masa sama bagi mempromosikan perpaduan dan kesejahteraan.

“Justeru, transformasi KRT ini dilihat perlu agar ia dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai agen perpaduan dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan pada hari ini.

“(Dan) mungkin di peringkat Kerajaan Negeri, kita dapat berkolaborasi menganjurkan program atau aktiviti bersama-sama,” katanya pada pertemuan itu.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah Pakatan Harapan, sejak mengambil alih tampuk pentadbiran telah membentuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) bagi menggerakkan aktiviti perpaduan di peringkat akar umbi.

“Kini ia (JKKK) telah ditambah baik dan dikenali sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“(Dan) pada pandangan saya, MPKK di peringkat negeri boleh bekerjasama dengan KRT di peringkat persekutuan bagi menjayakan agenda perpaduan di kawasan setempat.

“Cuma kita perlu fahamkan komuniti setempat bahawa kedua-duanya bukanlah entiti kepartian politik, tetapi lebih ke arah perpaduan penduduk setempat,” ujarnya sebagai respons terhadap pertanyaan apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di peringkat komuniti setempat di negeri ini.

Difahamkan, sehingga kini terdapat lebih 500 KRT di Pulau Pinang dan 266 SRS aktif.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN