GEORGE TOWN – Seramai 18 kakitangan daripada 11 organisasi bekalan air di Malaysia berjaya menamatkan Kursus Latihan Amali Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water, NRW) dan menerima sijil masing-masing di sini baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB), Ir. Jaseni Maidinsa dalam kenyataan akhbarnya memberitahu bahawa kursus berkisarkan ‘NRW: Reduction Technology Training and Capacity Building’ tersebut dianjur oleh Tokyo Suido Services Co. Ltd. (TSS) bersama-sama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) menerusi program JPP iaitu Program Perkongsian Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).
Jelasnya, kursus julung kali diadakan tersebut dikendalikan Akademi Perkhidmatan Air Pulau Pinang (PWSA) selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Januari lalu.
“Sambutan yang diberikan adalah amat menggalakkan dengan bantuan PWSA dan ini merupakan satu peristiwa penting di mana 11 operator pembekal air di Malaysia hadir menyertai dan berjaya menamatkan kursus ini,” katanya di sini baru-baru ini.
Selain Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), Jabatan Bekalan Air Labuan, Jabatan Bekalan Air Sabah, JKR Sarawak, Lembaga Air Perak (LAP), Pengurusan Air Pahang (PAIP), Syarikat Air Darul Aman (SADA – Kedah), Syarikat Air Johor Holding (SAJH), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) turut sama menamatkan kursus berkenaan.
Sijil disampaikan oleh Pengarah Jabatan Bekalan Air, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Mohd. Hizan
Kamaruzaman.
Turut hadir, Konsul Besar Jepun, Ryoji Noda; wakil Ketua JICA (Malaysia), Matsumoto Kojiro; Pengarah TSS, Masanori Takizawa dan Pengurus Besar TSS, Hajimie Horiguchi.
Jaseni yang juga Pengurus Besar PBAPP memberitahu, antara objektif lain penganjuran kursus tersebut adalah untuk berkongsi teknologi pengurusan NRW, metodologi dan kepakaran operator air TSS di Malaysia.
“Pada tahun 2013, peratusan purata kebangsaan NRW, seperti dilaporkan Malaysia Water Industry Guide, adalah 36.6 peratus. PBAPP mencatatkan 18.2 peratus untuk negeri Pulau Pinang. Tetapi TSS berjaya mencatatkan 3.3 peratus untuk Tokyo.
“Oleh demikian, pengurusan NRW penting, ia akan membezakan antara mengenakan atau mengelakkan catuan air semasa musim kemarau yang panjang,” katanya yang berikrar akan terus komited menjayakan program JPP untuk manfaat semua.
Tambah Jaseni, pada Mac 2014, PBAPP dan TSS menandatangani perjanjian persefahaman untuk bekerjasama melalui program JPP dengan dana berjumlah RM1.6 juta bagi meningkatkan pengurusan NRW di Pulau Pinang.
Dalam perkembangan sama, tujuh kakitangan PBAPP turut menerima sijil pentauliahan sebagai tenaga pengajar NRW dari TSS.document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);