PERAI – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak termasuk pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) demi memperkasa komuniti lokal.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa mengulas berkaitan sumbangan Malakoff Corporation Berhad berjumlah RM120,000 kepada pihak Masjid Jamek Perai sebagai sumbangan zakat, pembelian van jenazah, penganjuran program-program keagamaan bantuan kepada asnaf serta penyediaan kotak makan, dalam majlis berbuka puasa di sini pada 25 Mac 2025.
“Minggu lalu, saya turut hadir di Masjid Jamek Perai bersama-sama Y.A.B. Perdana Menteri (Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim) yang mana beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk kegunaan pihak masjid menjalankan pelbagai kegiatan mengimarahkan masjid.
“Sebagai Ketua Menteri, saya berharap pihak Masjid Jamek Perai dan semua masjid serta surau dalam Pulau Pinang menyahut seruan tersebut dalam membantu kerajaan melahirkan sebuah komuniti yang mempunyai nilai kemasyarakatan dan identiti kukuh terutamanya dalam kalangan anak muda,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya berharap rumah-rumah ibadat di seluruh negeri Pulau Pinang dapat menjadi tempat selamat untuk semua pihak berkumpul bagi tujuan menuntut ilmu, mendapat perlindungan serta menganjurkan aktiviti bermanfaat kepada pelbagai kelompok usia.
Turut berucap, Pengerusi Masjid Jamek Perai, Suhairi Musa dan Ir. Jauhar Mohamed yang mewakili Malakoff Corporation Berhad iaitu penjana kuasa tenaga bebas (IPP) terbesar negara dengan aset termasuk loji janakuasa arang batu, gas dan tenaga boleh diperbaharui.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT