GEORGE TOWN – Sebanyak dua syarikat elektrik dan elektronik (E&E) tempatan yang menyertai program di bawah Pusat Inovasi Teknologi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) atau NCER Technology Innovation Centre (NTIC) menerima sijil apresiasi daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebentar tadi.
Turut menerima sijil sama adalah tiga syarikat lain yang menyertai program Transformasi Usahawan Mampan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) atau NCER Entrepreneur Sustainable Transformation (NEST).
Sijil disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi NCIA, Hasri Hasan dalam Majlis Kolaborasi Strategik Bagi Kemajuan NCER Technology Innovation Centre (NTIC) dan NCER Entrepreneur Sustainable Transformation (NEST) yang diadakan di Komtar dengan disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan.
Ketika berucap, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa sokongan penuh Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap usaha dan inisiatif dalam menggalakkan pertumbuhan ekosistem perindustrian berasaskan teknologi di negeri ini seperti yang dilaksanakan oleh NCIA kini.
“Kerjasama dan perkongsian teknologi secara strategik adalah kunci utama untuk bergerak pantas seiring dengan perkembangan teknologi global.
“Oleh itu, saya yakin bahawa program di bawah NTIC telah memainkan peranan penting dalam merealisasikannya dengan melibatkan agensi kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, syarikat-syarikat multinasional dan juga akademia.
“Malah, program yang memfokuskan aktiviti berkaitan penyelidikan, reka bentuk, teknologi, inovasi dan pengkormersialan (seperti program NTIC) ini amat penting dalam memacu ekosistem mampan khususnya dalam membangunkan kapasiti PKS di negeri ini.
“Saya berharap agar program NTIC bukan sahaja memperkukuh kedudukan Pulau Pinang dalam sektor semikonduktor melalui pembangunan teknologi Advanced Packaging (AP) tetapi juga dapat menyokong permintaan global terhadap produk elektronik berprestasi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), rangkaian mudah alih generasi kelima (5G) dan kenderaan elektrik (EV),” ujarnya di sini.

Menurut Kon Yeow, pada tahun 2024, NTIC telah membantu membangunkan kapasiti 24 PKS di Pulau Pinang dalam pelbagai rantaian nilai seperti penambahbaikan produk, digitalisasi, automasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Hasilnya, sebanyak lapan projek kerjasama rentas sempadan dan sembilan intellectual property (IP) tempatan berjaya diwujudkan termasuk 358 bakat baharu dibangunkan mengikut keperluan industri.
“Secara keseluruhan, program NTIC ini berjaya membantu merealisasikan pelaburan sebanyak RM26.8 bilion dan mewujudkan lebih 900 peluang pekerjaan pada tahun lalu di Pulau Pinang,” ulasnya.
Selain NTIC, tambah Kon Yeow, NCIA turut menjalankan program NEST demi mentransformasikan perniagaan dan pasaran Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di wilayah utara.
“Secara kumulatif sehingga Mac 2024, jualan tahunan melibatkan 80 syarikat PMKS di bawah program NEST, menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak RM8.8 juta, mencecah RM197 juta berbanding sebelum mereka menyertai program berkenaan.
“Malah, program berkaitan juga telah mewujudkan lebih 356 peluang pekerjaan baharu sekali gus mengukuhkan lagi aspek sosioekonomi di negeri ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2024, Pulau Pinang telah mencatatkan pelbagai pencapaian memberangsangkan.
“Pulau Pinang berjaya menarik pelaburan bernilai RM31.38 bilion, selain membuka lebih 6,600 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, perkhidmatan canggih dan pertanian moden.
“Selain itu, menerusi kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan NCER, negeri ini berjaya merealisasikan pelaburan sebanyak RM42.8 bilion dan hampir 9,000 peluang pekerjaan diwujudkan,” katanya.
Terdahulu, dalam majlis sama, Mohamad Haris menzahirkan penghargaan atas sokongan Kon Yeow dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha membangunkan program transformasi ekosistem industri seperti NTIC dan NEST.
“Program NTIC bermatlamat memperkukuh ekosistem industri dengan meningkatkan rantaian nilai menerusi inisiatif Centre of Excellence (CoE), Advanced Technology Meister Programme (ATMP) dan Technology and Innovation (T&I) melalui kerjasama dengan rakan strategik dari dalam dan luar negara.
“Manakala (program) NEST bertujuan memacu transformasi mampan dalam kalangan PKMS di NCER dengan memberi tumpuan pada peningkatan hasil pendapatan melalui perluasan pasaran dan pelaburan strategik.
“Pada masa sama, ia juga memfokuskan pengukuhan jenama, penerapan teknologi, pensijilan dan pengurusan kewangan yang efisien,” katanya.
Dua syarikat penyedia NTIC yang menerima sijil apresiasi adalah ECTron Sdn. Bhd. dan Steerix Sdn. Bhd. manakala syarikat penerima manfaat di bawah program NEST adalah HZ Green Pulp Sdn. Bhd.; Vastiq Solutions dan Aenon Solution Sdn. Bhd..
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD