TELUK BAHANG – Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah senario baru yang wajar dilaksanakan demi kestabilan kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata bahawa gabungan PH dan BN juga dilihat memberi peluang yang amat cerah untuk kerajaan Perpaduan mentadbir negeri Pulau Pinang selepas pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.
“Saya yakin dalam PRN kali ini kita masih mampu pertahankan tampuk pemerintahan di negeri ini tetapi berapa jumlah bilangan kerusi yang dimenangi adalah bergantung kepada bagaimana kita meneruskan kempen sehingga tiba hari mengundi.
“Kita juga perlu yakinkan mereka di peringkat akar umbi bahawa kita perlu pastikan kemenangan kerusi-kerusi yang ditandingi calon PH dan BN supaya kerajaan yang kita bentuk adalah kukuh dan stabil,” katanya semasa berucap dalam program sembang santai bersama jentera dan akar umbi BN dekat gerai Kuala Sungai Pinang, di sini sebentar tadi.
Turut serta, calon BN yang mewakili kerajaan Perpaduan Pulau Pinang bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Teluk Bahang, Ahmad Zaki Shah Shah Headan.
Justeru, Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang berkata bahawa gerak kerja kempen harus dipertingkatkan sehingga ke hari membuang undi.
“Oleh itu, jentera kita perlu turun ke setiap pelosok bagi meyakinkan pengundi untuk keluar mengundi bagi memenangkan calon PH dan BN,” ujarnya.
Sementara itu, Ahamd Zaki juga menyatakan bahawa gabungan PH dan BN sangat positif untuk memastikan kemenangan kekal menjadi milik kerajaan Perpaduan di KADUN Teluk Bahang.
“Sebelum membentuk Kerajaan Perpaduan pun sudah bentuk jalinan kerjasama yang mana ia dilakukan untuk memastikan kemenangan pada PRN kali ini.
“Justeru, kita perlu meneruskan momentum ini dengan berusaha memastikan setiap pengundi keluar untuk mengundi,” katanya.
Seusai sesi sembang santai, Kon Yeow dan barisan jentera Perpaduan meneruskan kempen dengan program ramah mesra bersama-sama penduduk setempat dekat warung Pak Kob, di sini.