Kerjasama rapat Kerajaan Negeri dan pihak industri tangani isu tenaga kerja

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan bekerjasama rapat dengan pemain-pemain industri khususnya Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi menangani isu berkaitan kekurangan tenaga kerja di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa Pulau Pinang merupakan negeri terkehadapan dalam bidang sains dan teknologi tetapi berdepan masalah kekurangan modal insan dan kepakaran yang diperlukan oleh pihak industri.

“Oleh hal demikian, kita akan mengadakan sesi perbincangan untuk mendapatkan input daripada semua pihak berkenaan bagi mengatasi kekangan tenaga kerja yang diperlukan oleh industri PKS.

Thomas Mathew (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak berkaitan sambil disaksikan oleh Jagdeep Singh Deo sempena Bengkel Kerjasama Industri-Academia (IAC) dekat The Ship Kampus, di sini.

“Melalui kaedah ini, para pemegang taruh akan memberikan input kepada kita berkaitan cara untuk kita menangani isu kekurangan bakat dan pembangunan modal insan di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Kerjasama Industri-Academia (IAC) dekat The Ship Kampus, di sini pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp Malaysia Berhad, Thomas Mathew serta wakil-wakil berkaitan.

Justeru, Jagdeep yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi memuji usaha yang dilaksanakan oleh TalentCorp dalam memupuk bakat serta memajukan Pembangunan tenaga kerja mahir dalam industri PKS di wilayah Utara.

“Inisiatif ini membolehkan Pulau Pinang mengekalkan statusnya sebagai ‘Lembah Silikon Timur’.

“Dengan sokongan TalentCorp untuk menggalakkan persekitaran berasaskan pengetahuan, Pulau Pinang boleh menarik dan mengekalkan bakat yang memajukan sektor PKS serta meningkatkan daya saing ke arah mencapai Visi Penang2030,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Sementara itu, Thomas berkata penganjuran bengkel IAC bukan sahaja bertujuan meningkatkan ekonomi negeri bahkan untuk memenuhi tuntutan keperluan ekonomi Madani secara menyeluruh.

“Wujud perubahan berskala global dalam aspek cara bekerja yang diterjemah sebagai “Masa Hadapan Kerja” yang didorong oleh Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) iaitu peralihan tenaga dan teknologi zaman Baharu.

“Justeru, hasil daripada bengkel yang diadakan ini akan dikumpulkan dan dikongsikan dengan semua pihak berkepentingan untuk digunakan dalam pembangunan inisiatif dan program strategik ke arah meningkatkan lagi industri PKS di negara ini,” tambahnya.

Difahamkan, bengkel bertemakan “Kumpulan Bakat Yang Mampan Dalam Sektor PKS (Kemunculan Teknologi Baharu) itu akan mengumpulkan rakan strategik dari universiti serta pihak berkepentingan PKS.

Sesi pertama engkel tersebut menggabungkan tenaga dan kepakaran pihak industry dan akademia dengan mengumpul data, input dan maklum balas daripada kedua-dua pihak mengenai cara untuk merapatkan jurang bakal dalam industry terutamanya di wilayah Utara.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD