Kerjasama semua pihak bantu pengusaha ternakan

Admin

PULAU BETONG – Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Veterinar Pulau Pinang bagi membantu daripada penyediaan makanan terbaik kepada lembu-lembu susu yang bakal diternak oleh seorang pengusaha baru di Paya Kongsi, Balik Pulau.

Menurut Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin, pihak berkaitan mempunyai formula adunan berserta kandungan rumput napier bagi memastikan lembu susu yang diternak adalah lebih sihat bagi menghasilkan susu berkualiti.

“Rumput napier ini adalah makanan semulajadi yang berkualiti tinggi tanpa mengandungi bahan kimia.

“Jadi, kita (Kerajaan Negeri) akan tolong Encik Lee Soon Seng iaitu penternak lembu susu yang bakal berkecimpung dalam perusahaan susu lembu bagi mendapatkan campuran bahan makanan berkualiti mengikut saranan Jabatan Veterinar iaitu yang terbaik.

“Sekiranya proses secara organik dan tanpa bahan kimia berbahaya, saya yakin hasil tenusu akan menghasilkan susu terbaik,” ujarnya ketika mengiringi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melawat ladang ternakan Soon Seng di sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dan Pegawai Penyelaras Khas bagi kawasan Balik Pulau, Gooi Seong Kin.

Tambah Norlela, lebih menarik, ladang yang bakal diusahakan Soon Seng turut menyediakan pusat pengumpulan susu pertama di Pulau Pinang sekaligus mampu mengelakkan lambakan serta susu terbuang.

“Dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, kira-kira satu tan susu di Pulau Pinang terpaksa dibuang ekoran masalah pemasaran setiap hari ekoran ketiadaan pusat pengumpulan susu di negeri ini,’’ jelasnya.

Mengulas lanjut, Soon Hin menyatakan bahawa agro pelancongan merupakan salah satu produk baru yang mendapat perhatian pihak Kerajaan Negeri untuk diperkembangkan.

“Pulau Pinang perlu cuba produk pelancongan baharu seperti agro pelancongan, dan ini merupakan satu hala tuju yang boleh dikaji serta ditumpukan.

“Selain membekalkan makanan, ianya juga boleh mempromosikan ladang-ladang seperti ini sama seperti di New Zealand dan Australia yang mana pelancong ke sana untuk menikmati agro pelancongan,” katanya yang juga ADUN Paya Terubong.

Dalam pada itu, Kon Yeow yakin bahawa hasil komitmen barisan Exco dan ADUN terlibat, ia akan membantu petani serta pengusaha setempat berdepan cabaran pasca pandemik.

“Kita melawat Balik Pulau pagi ini untuk melihat ladang Soon Seng, seorang penternak ayam yang mengambil inisiatif untuk mengusahakan ladang tenusu dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Ini termasuk tapak di sebelahnya yang diusahakan penanaman rumput napier untuk makanan lembu susu kelak. Justeru, adalah penting untuk para Exco dan ADUN untuk sentiasa berhubung dengan pengusaha supaya agensi-agensi kerajaan dapat menyalurkan bantuan kepada pengusaha yang sebelum ini tidak mempunyai pengalaman dalam perusahaan tertentu.

“Serentak itu, Exco juga akan memberi tumpuan kepada sektor bekalan makanan, dan isu ini (bekalan makanan) merupakan isu global serta penting dalam memastikan bekalan makanan adalah mencukupi untuk rakyat,” ulasnya yang juga Exco bagi Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Sementara itu, Soon Seng ketika ditemui berkata bahawa beliau mensasarkan untuk membela kira-kira 100 ekor lembu tenusu.

“Untuk permulaan, sebanyak 20 ekor akan diternak. Walaupun tidak mempunyai pengalaman, saya sudah biasa membela ayam dan dari situ sudah faham sikit-sikit mengenai penternakan haiwan,” ulasnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALVIE CHENG