GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji usaha gigih Persatuan Warisan Dato’ Koyah (PWDK) dalam memulihara dan memelihara makam ulama tersohor yang diiktiraf sebagai status warisan UNESCO Kategori Satu.
Menurut beliau, cabaran yang dihadapi sebelum ini berjaya ditangani dengan kerjasama Kerajaan Negeri, George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Think City Sdn. Bhd., Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain.
“Bangunan (makam) ini sudah berusia hampir 200 tahun, keadaan amat mencabar kerana Jalan Transfer adalah terletak dalam satu kawasan yang senang dilanda banjir.
“Sebab kawasan ini dekat dengan laut dan terdapat aliran balik apabila air pasang pada musim-musim tertentu serta terdedah kepada kesan-kesan alam (bencana).
“Ini telah menyebabkan restorasi bangunan serta bahan-bahan yang digunakan (untuk restorasi) mestilah sesuai dengan kehendak cabaran daripada yang perlu didepani dalam memelihara bangunan warisan ini,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Pengiktirafan Anugerah Warisan GTWHI kepada PWDK dekat Jalan Transfer di sini tengah hari tadi.
PWDK memperoleh pengiktirafan Anugerah Kehormat Juri Kategori Konservasi, Penambahbaikan dan Adaptasi serta Kategori Program Dana Aktiviti Warisan dan Kebudayaan.
Hadir sama, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari.
Turut serta, Pengurus Besar GTWHI, Dr. Ang Meng Chee; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Dr. Najmudeen Kader dan Presiden PWDK, Abdul Rashid S.M Masooth.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa cabaran selepas pemulihan monumen bersejarah itu tetap wujud kerana unsur-unsur alam yang mampu mengancam dan tidak dapat dielakkan.
“Akhirnya impian tercapai, tetapi cabaran tidak terhenti di sini kerana unsur-unsur alam yang disebutkan tadi masih relevan.
“Isu-isu sama masih dihadapi, saya berharap GTWHI akan terus bekerjasama dengan PWDK untuk memastikan monumen ini menjadi satu tarikan selepas direstorasi dengan baik,” ulasnya yang juga ADUN padang Kota.
Pemuliharaan Makam Dato’ Koyah mula dirancang pada tahun 2014 dan siap sepenuhnya pada tahun 2019.
Antara cabaran usaha pemuliharaan monumen tersebut termasuk penggunaan bahan yang diiktiraf oleh UNESCO seperti kayu berusia lebih 100 tahun dan bahan-bahan lain yang hanya mampu diperoleh luar daripada Pulau Pinang.
GTWHI dalam satu kenyataan April lalu menyatakan bahawa penyampaian berupa sijil dan plak penghargaan berkaitan adalah bertujuan mengiktiraf individu serta organisasi yang terus menghidupkan George Town secara terus-menerus sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Sebanyak 101 pencalonan diterima oleh GTWHI sejak April 2021 sehingga 31 Disember tahun lalu dan 31 daripadanya berjaya merangkul anugerah.
Premis lain yang memperoleh pengiktirafan sama adalah Restoran Nasi Kandar Hameediyah, Cheng Woh Medical Hall, Kedai Ubat Poh Aun Tong dan Kwong Tuck Sundries & Liquors Sdn. Bhd. yang juga terletak dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : CHAN KOK KUAN