GEORGE TOWN – Jumlah kes positif COVID-19 yang dicatatkan pada 6 Oktober 2020 iaitu 691 merupakan angka harian tertinggi yang direkodkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lalu.
Namun, dalam pengumuman terbaru Perdana Menteri petang semalam antara lain memberitahu bahawa Putrajaya tidak bercadang untuk pelaksanaan semula PKP demi memutuskan semua rantaian perebakan wabak tersebut.
Walhal, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1988 (Akta 342) memang memberi peruntukan kuasa kepada Menteri berwajib di peringkat Putrajaya untuk mengambil tindakan yang lebih wajar ketika ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail, kempen kesedaran 4P merangkumi amalan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka yang betul, pencucian tangan dengan sabun atau produk sanitasi pembasmi kuman dan perhatikan gejala COVID-19 di negeri ini adalah sangat baik.
“Saya melihat amalan 4P yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebenarnya sangat membantu Putrajaya untuk melaksanakan Normal Baharu.
“Macam di peringkat KADUN Pulau Betong, produk sanitasi pembasmi kuman serta pelitup muka yang dibekalkan oleh pentadbiran Ketua Menteri, segera pejabat saya edarkan kepada kelompok sasar termasuk lapan sekolah KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardu ‘Ain).
“Cuma, kekangan yang dihadapi sampai sekarang adalah kami dihalang untuk membekalkan produk sanitasi pembasmi kuman dan pelitup muka ke sekolah-sekolah kebangsaan sahaja…mungkin kerana ada pekeliling bersifat politik dari pihak Putrajaya,” jelasnya lagi.
Bagi ADUN Permatang Pasir pula, Muhammad Faiz Fadzil, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri semalam lebih mencerminkan aspek politik kepartian berbanding keselamatan dan kesihatan rakyat secara keseluruhannya.
“Pengumuman Perdana Menteri memang mengejutkan semua pihak, dianggap begitu longgar dan langsung tak tegas.
“Kalau di peringkat Putrajaya mempunyai SOP (Prosedur Operasi Standard) yang sangat teratur dan bagus sekalipun, tetapi tiada komitmen daripada Perdana Menteri untuk melaksanakan langkah-langkah penguatkuasaan secara lebih ketat lagi, adalah sia-sia.
“Dia (Perdana Menteri) tidak boleh mengumumkan suatu tindakan yang tegas mungkin kerana dia tahu bahawa yang melanggar SOP adalah dalam kalangan Ahli Jemaah Menteri, dan telah ada yang disahkan positif COVID-19.
“Bagi saya, pengumuman khas yang dibuatnya semalam menyerlahkan dia sangat mementingkan politik lebih berbanding memikirkan keselamatan rakyat di bawah ini,” jelasnya.
Di samping itu, beliau memberitahu Pusat Khidmat Rakyat ADUN Permatang Pasir sehingga kini komited melaksanakan program-program kesedaran mengenai peri penting amalan 4P sebagaimana disarankan oleh Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) Pulau Pinang.
Sementara itu, ADUN Bagan Dalam, M. Satees pula memberitahu bahawa beliau berkongsi impian dengan seluruh rakyat Malaysia termasuk di Pulau Pinang, iaitu tidak mahu PKP dilaksanakan kembali.
“Saya, seperti kebanyakan rakyat Malaysia, tidak mahu PKP dilaksanakan semula, kerana impaknya kepada ekonomi, terutamanya kepada rakyat marhaen, akan menyebabkan ‘depression in economy’ (kemelesetan ekonomi).
“Kalau kesemua SOP yang ditetapkan dipatuhi, memang kadar perebakan tidak akan melambung naik.
“Masalahnya, mereka yang perkenalkan SOP haruslah mematuhinya, tidak boleh harapkan rakyat biasa mematuhi, dan mereka yang di Putrajaya pula bebas melanggar SOP,” respons beliau.
Tambah beliau, memang wajar semua pihak mempertikai pengumuman Perdana Menteri semalam, ketika angka kes baharu harian direkodkan paling tinggi dan terus meningkat.
“Di Bagan Dalam, kami sedang meminta penganjur, pemilik tempat-tempat yang ada perhimpunan ramai, seperti pasar, restoran untuk mematuhi SOP dengan tegas.
“Akhirnya, rakyat akan tanya balik: kenapa VIP boleh langgar SOP,” tegasnya lagi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD