Kesihatan mental kanak-kanak & remaja perlu diatasi bersama, buang stigma negatif, seru Ramasamy

Admin
GEORGE TOWN – Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2017 mendedahkan bahawa masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja dan kanak-kanak semakin membimbangkan.
Menyedari hal itu, Kiwanis Club of Penang Central (Kiwanis) dengan kerjasama Jabatan Psikatri dan Kesihatan Mental Hospital Besar Pulau Pinang (HPP) mengambil inisiatif khas menganjurkan pelbagai siri program bual bicara, forum dan latihan sepanjang tahun ini bagi menangani perkara tersebut.
Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang hadir merasmikan segmen bual bicara Depression and Suicide in Children and Management sebentar tadi berkata, program- program kesedaran mengenai kesihatan mental kanak-kanak dan remaja yang dinaungi  Kiwanis dan HPP itu telah dimulakan semenjak bulan lalu.
“Untuk mengetahui dan mendalami masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja ini, kita perlu memahaminya dengan lebih mendalam terlebih dahulu, apakah punca penyebabnya.
“Masalah kesihatan mental adalah isu penting yang harus diatasi secara bersama, buangkan stigma negatif anggapan masyarakat mengenainya.
“Isu ini harus diketengahkan dan ditangani dengan berkesan oleh pelbagai pihak, bukan sahaja dalam kalangan keluarga, masyarakat…. malah pemimpin seperti Hannah Yeoh (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) serta Tan Sri Lee Lam Thye (Penaung Persatuan Psikatri Malaysia) banyak memberikan sokongan dan membicarakan hal ini untuk memberikan lebih banyak kesedaran kepada umum,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.
Difahamkan, Ramasamy juga merupakan antara pemimpin yang banyak memberikan sokongan kepada penganjuran program kesihatan mental ini dan turut memberikan sumbangan kepada Kiwanis untuk penganjuran program berkaitan.
Hadir sama, Presiden Kiwanis Club of Penang Central, Datuk Wong Siew Hai dan Dr. Lee Sze Chet ( Doktor Psikatri di Hospital Besar Pulau Pinang merangkap penceramah jemputan).
Kira-kira 100 jemputan dalam kalangan ibu bapa, guru, orang perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO) hadir pada program tersebut.