Kesukarelawanan, peremajaan belia antara topik utama pertemuan

GEORGE TOWN – Kekangan kesukarelawanan, kesan akibat pandemik dan usaha peremajaan golongan belia merupakan antara isu yang dibangkitkan oleh pimpinan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP) pada sesi kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar sebentar tadi.

Presiden MBNPP, Mohd. Hafiz Ali Mohd. Anuar yang mengetuai delegasi berkaitan berkata bahawa antara kebimbangan majlis adalah penglibatan belia dalam aktiviti kesukarelawanan dewasa ini.

“Kebimbangan muncul, selain (semangat) kesukarelawanan dalam kalangan belia (terhadap aktiviti berpersatuan), isu had umur yang diturunkan iaitu daripada 40 tahun ke 30 tahun (bagi takrifan belia) akan menyebabkan kurangnya penglibatan golongan berkaitan.

“Oleh itu, kami di MBNPP merancang untuk mencari inisiatif bagi peremajaan dan mempersiapkan belia dengan teknologi semasa bagi memastikan Model Pembangunan Belia 2035 dapat direalisasikan.

“Apatah lagi selepas pandemik, kesannya turut memberi impak kepada golongan tersebut yang mana MBNPP cuba untuk memantapkan lagi program kemahiran seperti keusahawanan bagi memberi peluang untuk belia bangkit semula,” katanya yang mula menerajui MBNPP sejak 2021.

KETUA Menteri ketika mengadakan perbincangan bersama-sama delegasi Majlis Belia Negeri Pulau Pinang di Komtar.

Pada pertemuan itu juga, Mohd. Hafiz menyuarakan hasrat agar Kerajaan Negeri dapat memberikan pertimbangan untuk meneruskan pemberian geran tahunan kepada MBNPP seperti tahun sebelumnya bagi membantu majlis berkenaan ‘bergerak’.

“MBNPP sentiasa mendukung dan menyokong dasar-dasar yang dibuat oleh Kerajaan Negeri khususnya dalam membangunkan dan meningkatkan keupayaan golongan belia pada semua peringkat.

“(Dan) pihak kami juga menjalinkan kerjasama strategik dengan pimpinan negeri bagi melaksanakan aktiviti kebeliaan dan kesukarelawanan,” jelasnya yang turut memberi penerangan mengenai sejarah penubuhan, visi dan misi, struktur organisasi serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun 2021 dan 2022 lalu termasuk perancangan tahun 2023.

Dalam reaksi balas, Kon Yeow memaklumkan bahawa penjenamaan semula sesebuah organisasi berkaitan belia tidak seharusnya mengabaikan belia meskipun had umur baharu golongan tersebut ditetapkan.

“Ya, ia mungkin boleh dikatakan sebagai suatu kekurangan apabila persatuan atau pertubuhan belia mula hilang fokus terhadap aktiviti kebeliaan, namun ia tidak seharusnya mengabaikan aspek tersebut sebaliknya cuba mengadaptasi perubahan yang berlaku.

“(Dan) berhubung geran tahunan, saya akan meneliti perkara tersebut serta berharap agar MBNPP akan terus memainkan peranannya dalam memperkasakan golongan belia di negeri ini,” ujarnya yang juga merupakan penaung kepada MBNPP.

ANTARA pimpinan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang yang hadir.

Selain Mohd. Hafiz, delegasi pimpinan MBNPP turut dianggotai oleh Timbalan Presiden, Tan Chor Lim; Naib Presiden, Khor Kai Shin; Setiausaha Agung, Mohd. Faizul Afzan Mamat serta Setiausaha Kerja, Azri Ishak.

MBNPP ditubuhkan sejak tahun 1948 dan merupakan antara pertubuhan belia terawal yang masih wujud sehingga kini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN