KETAGIHAN gajet dalam kalangan pelajar menjadi isu yang semakin membimbangkan pada era digital ini.
Penggunaan gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer riba meningkat dengan mendadak bukan sahaja untuk tujuan pembelajaran, tetapi juga hiburan.
Walaupun gajet memberikan manfaat besar dalam aspek pendidikan, penggunaannya yang berlebihan mula menimbulkan impak yang membimbangkan baik dari segi kesihatan mahupun aspek yang lebih luas iaitu tingkah laku.
Ketika tinjauan Buletin Mutiara pada 18 April lalu, rata-rata responden menceritakan bahawa ramai dalam kalangan pelajar sering menghabiskan masa berjam-jam menatap skrin tanpa memikirkan impak terhadap kesihatan mereka.

NABISA MOHD. KASSIM, 45, meluahkan kebimbangannya mengenai ketagihan gajet yang semakin serius dalam kalangan pelajar.
“Anak sulung saya, selalu mengadu sakit kepala dan matanya juga mula menjadi kabur.
“Saya juga perasan anak sulung saya jadi cepat marah dan kurang berminat untuk belajar, itu yang amat merisaukan saya.
“Menurut doktor, masalah tersebut berpunca daripada penggunaan skrin yang terlalu lama
“Sememangnya ketagihan gajet memberi kesan pada kesihatan fizikal dan emosi anak-anak,” katanya dalam nada bimbang.
Beliau turut berkongsi pengalaman mengenai anak keduanya, yang mula hilang keyakinan diri.
“Anak saya tu terlalu banyak melihat kandungan di media sosial sehinggakan dia rasa dirinya serba kekurangan dan tidak mencukupi,” ujarnya.
Sebagai ibu, Nabisa berpendapat bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan aktif dalam mengawal penggunaan gajet anak-anak.
“Kita tak boleh biarkan anak-anak terlalu bebas dengan gajet,” katanya.
Menurut Nabisa, beliau kini menetapkan had masa untuk penggunaan gajet dan menggalakkan anak-anaknya untuk melakukan aktiviti luar seperti berbasikal.
“Saya galakkan mereka bermain di luar kerana ia membantu mereka untuk lebih fokus dan ceria.
“Dalam hal sebegini, saya rasa ibu bapa perlu menjadi teladan yang baik.
“Kalau kita sendiri sebagai ibu bapa sentiasa dengan telefon, bagaimana kita mahu anak-anak menjauhi gajet.
“Saya percaya, bahawa kita (ibu bapa) perlu luangkan lebih banyak masa bersama anak-anak setiap hari.
“Kita perlu bercakap dengan mereka, berkawan dengan mereka dan memahami apa yang mereka suka atau hadapi.
“Saya harap sangat, ibu bapa di luar sana, perlu sedar akan bahaya ketagihan gajet ini dan segera mengambil langkah sewajarnya sebelum terlambat.
“Masa depan anak-anak adalah tanggungjawab kita,” tegasnya.
Dalam pada itu, Nabisa turut menyeru agar semua pihak dapat bekerjasama mendidik anak-anak tentang tatacara sihat dan betul dalam menggunakan teknologi secara bijak.
“Ini bukan tanggungjawab seorang ibu atau bapa sahaja, tetapi semua pihak termasuk sekolah dan persekitaran,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.
YEOH Yin Yin.
Seorang lagi responden, YEOH YIN YIN berpandangan bahawa masa skrin (screening time) yang terlalu lama boleh menyebabkan masalah seperti digital eye strain syndrome (DES) atau computer vision syndrome (CVS) iaitu sindrom penglihatan komputer.
“Pelajar kini semakin kerap mengalami simptom seperti mata kering, penglihatan kabur dan sakit kepala akibat penggunaan gajet yang berpanjangan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa langkah pencegahan seperti menggalakkan waktu rehat berkala daripada skrin amat penting untuk kesihatan mata.
Selain itu, Yin Yin juga mencadangkan agar pelajar meluangkan lebih banyak masa di luar rumah dan memastikan pencahayaan yang sesuai ketika menggunakan peranti digital.
“Bukan itu sahaja, ketagihan melampau terhadap peranti elektronik juga memberi kesan buruk pada aspek kesihatan mental pelajar.
“Masa skrin yang berlebihan boleh menyebabkan gangguan tidur, kegelisahan dan keupayaan fokus yang rendah.
“Lebih membimbangkan, pendedahan berlebihan kepada media sosial dan kandungan dalam talian sering dikaitkan dengan masalah harga diri yang rendah serta pengasingan sosial,” jelasnya.
Beliau yang merupakan Pembantu Khas kepada Exco Kesihatan turut menekankan peri pentingnya peranan ibu bapa dalam menangani isu ini.
“Ibu bapa harus menjadi contoh dengan mengamalkan tabiat digital yang sihat.
“Ibu bapa juga perlu menetapkan had masa skrin yang jelas untuk anak-anak dan berbincang secara terbuka mengenai kandungan yang mereka boleh akses.
“Bukan setakat itu sahaja, semua pihak termasuk sekolah dan masyarakat umum juga perlu berganding bahu dalam memastikan para pelajar dapat menikmati manfaat teknologi tanpa menjejaskan kesihatan dan perkembangan mereka.
“Teknologi adalah alat yang berkuasa, tetapi tanpa bimbingan yang betul, ia boleh membawa keburukan,” tambahnya yang percaya bahawa pendekatan holistik diperlukan untuk menangani isu ini dan mencipta keseimbangan antara dunia digital dan realiti.
- P. Srivashniee.
Ketagihan terhadap gajet turut menjadi isu serius dalam kalangan pelajar universiti, yang bergantung pada teknologi untuk pembelajaran, malah hampir setiap aspek kehidupan.
- P. SRIVASHNIEE yang merupakan pelajar tahun akhir berusia 22 tahun dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata demikian dan mengakui bahawa gajet kini menjadi keperluan asas dalam pembelajaran.
“Sebagai pelajar, kami sangat bergantung pada gajet untuk melengkapkan tugasan, menghadiri kelas dalam talian dan melakukan penyelidikan.
“Teknologi ini memang penting, tetapi ia juga membawa cabaran dan memberi kesan buruk sekiranya penggunaan gajet yang terlalu lama terutama terhadap kesihatan.
“Selepas seharian di hadapan skrin, saya sering mengalami mata yang letih, sakit kepala dan rasa keletihan yang berterusan,” ceritanya dengan nada jujur.
Selain itu, menurutnya, isu gangguan tidur akibat penggunaan gajet pada waktu malam juga sering berlaku dalam kalangan pelajar universiti.
“Kadang-kadang, saya tidak sedar masa berlalu apabila melayari media sosial hingga larut malam.
“Akibatnya, tidur menjadi tidak cukup dan ini memberi kesan kepada produktiviti keesokan harinya,” tambahnya yang mengakui bahawa media sosial turut membawa cabaran psikologi kepada pelajar.
Jelasnya, media sosial membantu beliau dan rakan-rakan lain kekal berhubung, namun ia juga mencipta ruang untuk perbandingan diri.
“Kadangkala, kita mula merasa rendah diri apabila melihat kehidupan orang lain yang kelihatan sempurna di media sosial,” katanya yang turut berkongsi pengalaman sebelum ini.
Bagi Srivaashinie, pengurusan masa yang baik dan keseimbangan antara teknologi serta aktiviti luar adalah penting untuk menangani isu ini.
“Saya cuba menetapkan masa rehat setiap satu atau dua jam semasa menggunakan gajet dan meluangkan masa untuk aktiviti seperti berjalan-jalan atau bersenam.
“Jika semua pihak lebih memahami cabaran ini dan bersama-sama mengambil langkah untuk menguruskannya, saya yakin kita mampu mencipta persekitaran yang lebih sihat untuk pelajar.
“Pelajar itu sendiri juga perlu melihat teknologi sebagai alat untuk membantu, bukan menguasai kehidupan mereka,” katanya sambil menyeru agar komuniti universiti, termasuk rakan-rakan dan pensyarah, untuk memainkan peranan dalam menyokong kesejahteraan pelajar bukan sahaja di kampus malah dunia luar.
Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: SIEW CHIA EN