Ketatkan kawalan biosekuriti dapat cegah ASF di Pulau Pinang, kata wakil Ketua Menteri

Admin
GOH Choon Aik (tengah) mewakili Ketua Menteri dengan diiringi Dr. Saira Banu Mohamed Rejab (kiri) menyampaikan cek replika bernilai RM2.24 juta kepada salah seorang wakil penerima wang ehsan dalam majlis berkaitan di sini pada 24 November 2023.

SEBERANG JAYA – Penternak babi di Pulau Pinang dinasihatkan supaya terus mengetatkan kawalan biosekuriti peringkat ladang, tidak membawa masuk ternakan babi secara haram ke negeri ini serta tidak berkongsi lori pengangkut susulan masih terdapat kes Demam Babi Afrika (ASF) direkodkan di Kedah dan Perak.

Mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik berkata demikian sebelum menyampaikan cek replika wang ehsan kepada 20 pemilik ladang sekitar negeri ini yang ternakan mereka telah dilupuskan dalam tempoh 3 Januari hingga 15 Mac 2023 akibat positif ASF.

“Walaupun wabak ASF terkawal di Pulau Pinang, kita masih tidak dapat menarik nafas lega kerana negeri-negeri bersempadan seperti Kedah dan Perak masih merekodkan kes ASF.

“Terbaru, pada 2 November 2023, kes ASF telah disahkan di Daerah Kuala Muda, Kedah iaitu di Kampung Panjang, Gurun, Kedah.

“Oleh itu, penternak dinasihatkan untuk terus mengetatkan kawalan biosekuriti di ladang,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Apresiasi dan Kempen Kesedaran Nipah/ASF anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang di sini pada 24 November 2023.

Menurut beliau, dengan mengetatkan kawalan biosekuriti peringkat ladang di seluruh negeri ini, ia sekali gus dapat mencegah penyakit zoonotik yang lain seperti Virus Nipah (NIV).

“Selain penyakit ASF, penyakit NIV adalah satu lagi penyakit zoonotik yang mana ia boleh merebak dari haiwan kepada manusia serta boleh menyebabkan kematian.

“Wabak Nipah pertama di Malaysia berlaku pada tahun 1998 (yang mana) merekodkan 105 kematian dan menyebabkan hampir sejuta babi dilupuskan dalam usaha membendung virus tersebut,” ujarnya.

Choon Aik menambah bahawa langkah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang mempergiat program kesedaran berkaitan bahaya penyakit zoonotik kini adalah wajar memandangkan baru-baru ini NIV menyerang penduduk Kerala, India serta mencatatkan sekurang-kurangnya dua kes kematian di samping berisiko menjangkiti 77 individu lain.

Berucap sebelum itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kerja-kerja kawalan wabak ASF dan pelupusan ternakan babi yang berakhir pada 15 Mac lepas.

Mantan Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Marlia Mohd. Belia yang kini merupakan Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Negeri Sembilan; Ketua Unit Pengurusan Bencana di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, D. Ambika Devi; Pegawai Jabatan Kesihatan Persekitaran, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dr. Chin Wee Loon dan wakil agensi-agensi lain turut sertai majlis tersebut pada malam ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR