Ketengahkan produk usahawan, koperasi lokal menerusi platform ‘Pasar Co-op’ KADUN – Exco

ABDUL Halim Hussain (berbaju putih) diirngi wakil penganjur 'Pasar Co-op' DUN Sungai Bakap, meninjau amalan penjarakan fizikal pengunjung di salah satu khemah utama jualan di perkarangan Masjid Kampung Gajah, Simpang Empat di sini pada 22 Ogos 2020.
SUASANA pengunjung pada acara perasmian pembukaan Pasar Co-op DUN Sungai Bakap, masing-masing lengkap memakai pelitup mulut serta dalam keadaan penjarakan sosial 1 meter antara satu sama lain.

SUNGAI BAKAP – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berharap lebih banyak produk jenama lokal yang dihasilkan oleh usahawan kecil dan sederhana serta koperasi setempat dapat diketengahkan melalui “Pasar Co-op” yang dianjurkan di tiap-tiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini.

ABDUL Halim Hussain

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata bahawa menerusi acara karnival selama sehari tersebut juga akan memberi peluang kepada rakyat terutama yang berpendapatan isi rumah 40 peratus paling rendah (B40) untuk membeli barang keperluan asasi yang berkualiti pada potongan harga antara 15 hingga 20 peratus.

“Kita (Kerajaan Negeri) bersama-sama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang, jalin antara dua portfolio ini (iaitu Kesuhawanan dan Koperasi) untuk jelajah ke seluruh negeri…kita cuba untuk buat di setiap KADUN.

“Kita pilih satu program di setiap daerah…pada tahun lepas (2019) kita di Masjid Sungai Acheh dalam KADUN Sungai Acheh, dan pada hari ini kita pilih KADUN Sungai Bakap.

“Ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini, banyak sektor ekonomi terjejas…salah satu cara untuk kita mengurangkan ‘sakit’ sektor peruncitan dan pemborong adalah dengan menganjurkan Pasar Co-op ini.

“(Dan) untuk meringankan beban orang ramai, harga jualan barang-barang di pasar ini adalah lebih murah berbanding harga pasaran.

“Justeru, kita harap usahawan kecil dan sederhana, juga penggerak koperasi dapat merebut peluang untuk mengetengahkan produk sendiri dalam Pasar Co-op ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung ketika merasmikan karnival tersebut di perkarangan Masjid Kampung Gajah, Simpang Empat di sini pada 22 Ogos 2020.

ABDUL Halim Hussain (berbaju putih) menyampaikan pek sumbangan bantuan kepada salah seorang penerima terpilih di sini baru-baru ini.
GOLONGAN terpilih dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) turut tidak dilupakan untuk mendapat pek bantuan barangan keperluan rumah dan baucer berwajib.

Pada majlis sama, Abdul Halim turut menyampaikan pek bantuan serta baucar bernilai RM30 kepada 30 penerima terpilih, untuk ditebus dengan barangan keluaran lokal di pasar tersebut.

Selain itu, beliau turut menyampaikan khemah niaga bersaiz 10′ X 10′ kepada beberapa penjaja kecil tempatan, serta menyempurnakan acara cabutan bertuah sebagai menghargai pengunjung lokal.

ABDUL Halim Hussain mendapatkan maklum balas mengenai prospek produk lokal yang diusahakan sendiri oleh Roshadah Md Aroff ketika sesi lawatan ke gerai-gerai pameran usahawan kecil dan sederhana serta penggerak koperasi di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Roshadah Md Aroff, 52, merupakan antara 30 usahawan kecil dan sederhana yang menyertai ‘Pasar Co-op’ DUN Sungai Bakap di sini.

RASHADAH Md Aroff

Menurutnya, sejak tahun 2016 lagi beliau mengeluarkan produk makanan berkhasiat yang diberi nama ‘Kerepek Daun Sup’.

Jadi, katanya lagi, ‘Pasar Co-op’ DUN Sungai Bakap merupakan salah satu platform untuk beliau memperkenal produk jenama sendiri kepada pemborong dan peruncit termasuk di luar daerah.

“Daun sup ini sebenarnya ada pelbagai khasiat seperti ‘cuci’ buah pinggang, menurunkan tekanan darah dan sebagainya, tetapi tak ramai tahu, saya olah supaya menjadi produk komersial.

“Jadi, sejak empat tahun lepas, saya usaha sendiri olah khasiat daun sup ini menjadi kerepek untuk dimakan rangup pada bila-bila masa, agar lebih ramai dapat khasiat daripada sayuran ini.

“Alhamdulillah, kini saya mempunyai kilang di Kompleks FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dekat Kampung Selamat, Tasek gelugor.

“Beratan tiap-tiap pek adalah 100 gram (g) dan harga jualan adalah RM10 untuk tiga pek.

“Fokus saya menyertai ‘Pasar Co-op’ ini untuk mengetengahkan produk jenama sendiri, di samping itu nak mencari pemborong dan peruncit untuk meluaskan pasaran sedia ada,” jelasnya lagi sambil memberitahu nama syarikatnya, RBM Suci Enterprise.

Beliau boleh dihubungi melalui laman Facebook Roshadah Md Aroff atau WhatsApp di talian 017- 481 6794.

BERGAMBAR bersama-sama Skuad Aman Wanita (AMANITA) iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai oleh polis wanita, salah satu agensi kerajaan persekutuan yang membuka gerai pameran kempen kesedaran pada acara karnival Pasar Co-op DUN Sungai Bakap di sini.

Tinjuan wartawan Buletin Mutiara mendapatan kira-kira 250 pengunjung menyertai acara perasmian ‘Pasar Co-op’ DUN Sungai Bakap, masing-masing lengkap memakai pelitup muka serta senantiasa mengamalkan penjarakan fizikal 1 meter (m) antara satu sama lain.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB