Keterlibatan masyarakat dimaksimumkan tanpa mengira latar belakang

Admin

GEORG TOWN – Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha melibatkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam penganjuran aktiviti berkaitan supaya kepentingan serta keterlibatan masyarakat dimaksimumkan tanpa mengira latar belakang.

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata adalah perlu ditekankan bahawa hasrat Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran ini adalah untuk merealisasikan Visi Penang2030.

 


“Ini adalah untuk bersama-sama memastikan perkembangan pesat pembangunan sosio ekonomi masyarakat di Pulau Pinang.

 


“Justeru, kini, barisan pimpinan Exco baharu akan meneruskan segala perancangan dan perjalanan pembangunan yang telah dimulakan sebelum ini serta memastikan pelaksanaan projek-projek baharu demi kesejahteraan rakyat.

 

 

“Bukan hanya selaras dengan yang termaktub di dalam Visi Penang2030, malah juga Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 sebagaimana diuar-uarkan sebelum ini,” ujarnya pada Majlis Penghargaan Meraikan Penerima Darjah Kebesaran Sempena Ulang Tahun Yang Dipertua Negeri anjuran pertubuhan NGO, Gabungan Liga Muslim di sini sebentar tadi.

 


Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ S. Sundarajoo; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Haja Najmudeen Kader dan pemimpin-pemimpin gabungan berkaitan.

 


Kon Yeow dalam pada itu mengulas ucapan pernah dinyatakan beliau sebelum ini bahawa dirinya akan sedaya upaya menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri dalam memberikan khidmat bakti kepada rakyat tanpa mengenal latar belakang kaum, agama atau kepercayaan.

 

 

“Ini adalah sumpah saya kepada rakyat Pulau Pinang yang mana nilai perpaduan adalah amat penting dalam membentuk sebuah masyarakat atau tamadun yang berdaya saing dan maju.

“Oleh itu, dalam era pembangunan yang semakin pesat pada hari ini, Kerajaan Negeri perlu terus memperkasakan peranan setiap lapisan masyarakat termasuk masyarakat India Muslim demi membangunkan intipati masyarakat Madani,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

 


Pada majlis berkaitan, seramai 43 penerima pingat dan darjah kebesaran telah diraikan sebagai menghargai peranan serta jasa yang dicurahkan.

 

 

Sementara itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dalam pada itu juga berharap MBPP dapat mencari lokasi sesuai untuk pembinaan sebuah dewan serbaguna bagi komuniti India Muslim di negeri ini.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT