Ketua Menteri, ADUN Sungai Acheh puji dedikasi MPKK agih pek bantuan makanan ketika PKP

Admin

SUNGAI ACHEH – Pek makanan keperluan asas yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan diagihkan kepada semua pihak, sebaliknya hanya kepada mereka yang dalam senarai penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan skim bantuan di bawah Agenda Ekonomi Saksama (AES) sedia ada.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim memberitahu bahawa ada anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat dikritik hebat oleh orang awam tertentu yang menyangka bahawa pek bantuan ‘Penang Lawan COVID-19’ tersebut diagihkan kepada semua pihak tanpa merujuk kepada senarai khas.

“Yang terputus langsung bekalan bantuan, warga emas dan mereka yang dalam senarai penerima sedia ada, bantuan memang disalurkan melalui MPKK.

“Kerana ada rumah yang dapat (pek bantuan barangan makanan keperluan asas) dan ada yang tak dapat, ada anggota MPKK kita sampai dimaki.

“Bagaimanapun, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua MPPK dalam KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) Sungai Acheh, kerana masih menunjukkan sikap dedikasi yang tinggi ketika mengagih bantuan kepada penerima layak,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Bantuan Kepada MPKK di Kampung Sungai Setar dekat sini pada 11 Mei 2020.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang berucap selepas itu menzahirkan rasa terharu atas sikap dedikasi yang ditunjukkan oleh anggota 12 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Acheh.

“Sejak 18 Mac (pelaksanaan PKP) sehingga fasa PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) yang dijadualkan sehingga 9 Jun nanti, ini adalah tempoh paling mencabar.

“Namun, dengan disiplin yang ditunjukkan oleh rakyat dalam mematuhi PKP, juga semangat dedikasi ditunjukkan oleh anggota-anggota dalam barisan utama, serta MPKK seperti yang dijelaskan oleh ADUN Sungai Acheh, saya yakin usaha serta pengorbanan semua dalam memutuskan rantaian perebakan wabak COVID-19 ini akan berjaya,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) Pulau Pinang.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Yazman Yahya; Pemangku Ketua Polis Daerah SPS, Deputi Supritendan Baeyah Abdul Wahab dan Ketua Polis Balai Simpang Empat, K.P. Surestaran antara pemimpin negeri yang menyertai lawatan Kon Yeow di sini pada pagi tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD