BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang mengalu-alukan cadangan pelaksanaan projek perumahan rakyat yang mahu dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) serta agensi-agensi Persekutuan lain yang tertangguh sebelum ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa merasmikan Program Perda Santuni Komuniti Madani : #PerdaDiHati di Padang Awam Permatang Damar Laut dekat sini pada 8 Jun 2024.
“Atas semangat perpaduan yang dijalinkan di seluruh negara, sudah (tiba) masanya Kerajaan dan rakyat bekerjasama untuk memandang ke hadapan bagi pembangunan rakyat serta negara kita.
“Sejak saya menjadi Ketua Menteri pada tahun 2018, di bawah semangat ‘pra perpaduan’, iaitu sebelum Kerajaan Perpaduan (ditubuhkan oleh peringkat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan), saya telah mengambil keputusan di bawah Jawatankuasa Perancang Negeri untuk ‘melepaskan’ atau meluluskan semua permohonan yang tertunggak daripada agensi-agensi Persekutuan di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu berkata sedemikian sebagai respons kepada perkara yang dibangkitkan oleh Pengerusi PERDA, Dato’ Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin.
Shaik Hussein yang juga Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Sungai Dua dalam ucapannya sebelum itu antara lain membangkitkan isu beberapa projek perumahan rakyat yang dimohon oleh PERDA serta agensi Persekutuan tertentu kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang ‘tertangguh’ atas sebab-sebab tertentu.
Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.
Hadir sama, Pengurus Besar PERDA, Mohd. Asri Baharum.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NOORAZIS NORAZIS
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR