Ketua Menteri bangga Perjuanita anjur karnival libatkan ibu tunggal, golongan ibu B40

Admin
img 8093 KETUA Menteri dan isteri, Tan Lean Kee turut meluangkan masa melawat gerai pameran dan jualan yang dianjurkan serentak dengan Karnival Inspirasi Wanita Hebat di perkarangan Upper Penang Road dekat Padang Kota pada 9 Mac 2024.

GEORGE TOWN – Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia, Persatuan Kemajuan Wanita Pulau Pinang (Perjuanita) mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Inspirasi Wanita Hebat di perkarangan Upper Penang Road pada 9 Mac 2024.

Karnival yang dianjurkan bersama-sama Pertubuhan Kasih Madani serta kerjasama Usahawan Wanita itu turut melibatkan lebih 19 penggerai jualan pakaian, makanan, kraftangan, ruang pameran dan permainan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam ucapan perasmiannya antara lain menzahirkan rasa bangga kerana karnival tersebut turut melibatkan ibu tunggal dan golongan ibu dalam kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40).

“Lebih membanggakan, peniaga-peniaga ini merupakan ibu-ibu tunggal dan kaum-kaum ibu daripada golongan B40 yang terbukti telah mengambil satu langkah ke hadapan untuk menambah baik kualiti hidup sendiri serta keluarga.

“Penganjuran karnival ini merupakan satu manifestasi penghargaan serta pengiktirafan kepada golongan wanita tanpa mengira latar belakang, etnik, bahasa, budaya, ekonomi sekalipun politik.

“Kalau kita nak melihat tokoh pemimpin wanita dalam KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) Padang Kota ini, saya berasa antara yang layak mendapat pengiktirafan sebagai tokoh perjuangan wanita adalah Puan Patimah Kader (Presiden Perjuanita) sendiri,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menurut Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi, pentadbirannya melalui Program Wanita Bangkit akan terus membantu golongan wanita negeri dalam mendepani isu keganasan rumah tangga, kemiskinan dan sebagainya.

Berucap sebelum itu, Patimah yang juga pengerusi penganjur karnival tersebut menyatakan bahawa pihaknya berharap pentadbiran Kon Yeow juga memberi perhatian kepada keperluan unit kediaman selesa dengan kadar sewa berpatutan yang diharapkan oleh anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan terutamanya ibu tunggal.

Isteri kepada Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee yang juga Penasihat Perjuanita; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo yang juga ADUN Perai; sekalian pemimpin NGO dan barisan penaja turut sertai majlis perasmian karnival tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN