Ketua Menteri, Belia 4B bincang agenda muhibah rakyat Pulau Pinang

Admin
KETUA Menteri (kiri sekali) turut mendapatkan maklum balas barisan pemimpin Gerakan Belia 4B Malaysia Pulau Pinang mengenai usaha Kerajaan Negeri memperkasa ekonomi rakyat termasuk kelompok muda-mudi di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Gerakan Belia 4B Malaysia Pulau Pinang akan terus menyemarakkan semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, di samping berusaha menghakis stigma lama konon-konon umat Melayu negeri dipinggirkan daripada arus pembangunan semasa di bawah Kerajaan Negeri hari ini.

MOHAMAD Nazri Abdul Latiff

Demikian kata Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Pulau Pinang, Mohamad Nazri Abdul Latiff semasa mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di pejabatnya dekat Komtar pada 22 Jun 2023.

Dalam pertemuan selama hampir sejam tersebut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut mendapatkan maklum balas daripada barisan pemimpin pertubuhan belia berkenaan mengenai usaha Kerajaan Negeri hari ini dalam merealisasikan agenda-agenda pembangunan ekonomi rakyat di Pulau Pinang.

Turut serta dalam perbincangan dua hala tersebut adalah Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Selain Mohamad Nazri, hadir sama Timbalan Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Pulau Pinang, Rokiman Shah Haron; Shahril Bin Ahmad Badalisah (Naib Pengerusi) dan beberapa jawatankuasa pertubuhan belia tersebut.

Pada 18 Jun 2023, semasa program Santai Ketua Menteri Bersama Belia di SP Arena dekat Seberang Jaya, yang dihadiri lebih 500 tetamu, seorang perwakilan Gerakan Belia 4B Malaysia Pulau Pinang dalam sesi temu bincang tersebut menyatakan hasrat untuk mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri bagi membincangkan agenda perpaduan belia negeri.

Perwakilan tersebut menyatakan bahawa pihaknya berharap Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dapat meluangkan masa menerima kunjungan hormat pertubuhan mereka, sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan pada 28 Jun ini.

Kunjungan hormat yang berlangsung pada petang tadi sekali gus melambangkan pentadbiran Kon Yeow cakna hasrat pertubuhan belia berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR