GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menganggarkan perbelanjaan sebanyak RM1.047 bilion bagi Belanjawan 2025 yang merangkumi RM940,223,689 perbelanjaan mengurus negeri.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa anggaran perbelanjaan yang dibentangkan adalah mengambil kira kedudukan kewangan negeri semasa ini.
Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkenaan, baki Akaun Hasil Disatukan Kerajaan Negeri semakin berkurang jika dibandingkan kedudukan lima tahun terkini, iaitu dari tahun 2019 hingga 2023.
“Sebagai rekod, baki Akaun Hasil Disatukan pada akhir tahun 2019 adalah berjumlah RM1.154 bilion; tahun 2020, sebanyak RM887.78 juta; tahun 2021, RM848.81 juta; tahun 2022, RM688.85 juta dan tahun 2023 sebanyak RM330.03 juta.
“Secara relatif, saiz Belanjawan Tahun 2025 sebanyak RM940.22 juta adalah berkurang sebanyak RM106.78 juta, berbanding Belanjawan Tahun 2024.
“Pengurangan sebanyak 10.19 peratus ini dilihat realistik dengan mengambil kira prestasi perbelanjaan sebenar tahun 2023 sebanyak RM951.76 juta.
“Belanjawan Tahun 2025 menyaksikan anggaran defisit terendah dalam sejarah Belanjawan Negeri Pulau Pinang, iaitu sebanyak RM33.63 juta,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota semasa membentangkan belanjawan tahunan tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 22 November 2024.
Sebelum itu, beliau menjelaskan bahawa perbelanjaan bekalan yang dibolehkan bagi tahun 2025 RM905,271,957 dengan melibatkan 21 jabatan.
Selain Perbelanjaan Bekalan, Kon Yeow menjelaskan bahawa sejumlah RM34,951,732 diperlukan untuk menampung Perbelanjaan Tanggungan Tahun 2025 yang melibatkan tiga jabatan mengikut Undang-undang di bawah Kumpulan Wang Disatukan.
“Dengan mengambil kira anggaran Perbelanjaan Bekalan dan Tanggungan ini, maka, jumlah keseluruhan Anggaran Perbelanjaan Mengurus Negeri Pulau Pinang Tahun 2025 adalah sebanyak RM940,223,689,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.
Di samping itu, beliau turut membentangkan komponen Perbelanjaan Mengurus yang terdiri daripada Emolumen sebanyak RM207,547,367 atau 22.07 peratus; Perkhidmatan dan Bekalan (RM193,925,552 atau 20.62 peratus); Aset, (RM4,628,868 atau 0.50 peratus); Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap (RM532,705,462 atau 56.66 peratus); dan Perbelanjaan Lain (RM1,416,440 atau 0.15 peratus).
“Sebagai retrospektif, suka saya maklumkan bahawa Dewan yang mulia ini telah meluluskan Belanjawan Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 sebanyak RM1.047 bilion, namun, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan menguatkuasakan penjajaran melalui pengenaan sekatan perbelanjaan ke atas Objek Sebagai atau OS tertentu bagi memastikan Kerajaan Negeri mempunyai lebihan baki Akaun Hasil Disatukan apabila memasuki tahun 2025.
“Belanjawan Tahun 2025 ini membawa mesej yang jelas bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang memilih pendekatan pragmatik berbanding idealistik dalam memikirkan kelangsungan fiskal negeri pada jangka masa panjang,” ulasnya lanjut.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU HMAD RADZI, DARWINA MOHD. DAUD & ALISSALA THIAN
Video: SITI NURATIKAH RAHMAT & SIEW CHIA EN