GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri (CMI) pada tahun 2018 telah menjual tanah seluas 6.4 ekar tanah kepada Hospital Island Sdn. Bhd. dengan harga jualan RM156.44 juta dan pajakan 99 tahun untuk cadangan projek Penang Medical City.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pada ketika itu, hanya Hospital Island dibenarkan melaksanakan projek menaik taraf hospital swasta di seluruh negeri yang mana pihak berkaitan (Hospital Island) adalah satu-satunya hospital swasta di Jalan Peel dekat Daerah Timur Laut.
Selain itu, beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa cadangan untuk menjalankan projek naik taraf hospital di tapak berkenaan adalah selari dengan fokus Kerajaan Negeri untuk mempromosi pelancongan perubatan di Pulau Pinang.
“Salah satu syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) untuk mendapatkan permit dan lesen, Hospital Island perlu menyediakan sambungan fizikal dan pentadbiran antara bangunan lama dan baharu, iaitu antara bangunan/tanah Hospital Island sedia ada dengan tanah CMI yang berhampiran dengan Hospital Island tersebut.
“Justeru, atas justifikasi-justifikasi tersebut, Kerajaan Negeri melalui CMI memajak tanah kepada Hospital Island secara rundingan terus berdasarkan kadar nilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini 21 November 2023.
Sebelum itu, beliau turut memberitahu ADUN Komtar, Teh Lai Heng mengenai rekod Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menjual tanah secara rundingan terus sejak tahun 2008.
Berikut adalah senarai penjualan tanah milik PDC secara rundingan terus:-
* Cadangan penjualan tanah seluas 30 ekar dan 13.5 ekar kepada Paramount Corporation Bhd. bagi tujuan pembinaan Kolej Universiti dan pembangunan bercampur. Perjanjian ini telah ditandatangani pada 25 Mac 2014 dan 1 Mei 2015. Projek ini dijangka siap pada tahun 2030.
* Cadangan penjualan tanah seluas 245 ekar dekat Batu Kawan kepada Aspen Vision Land Sdn. Bhd. bagi tujuan pembangunan bercampur. Perjanjian ini telah ditandatangani pada 3 September 2014 dan dijangka siap pada tahun 2024.
* Cadangan penjualan tanah (projek One Auto Hub) seluas 70 ekar di Batu Kawan kepada PKT Logistics (M) Sdn. Bhd. bagi tujuan industri, institut dan komersial. Perjanjian ini telah ditandatangani pada 8 Oktober 2013 dan 28 April 2015. Projek ini dijangka siap pada tahun 2028.
* Cadangan Penjualan dan Pembangunan Tanah seluas 30.0234 ekar di Bandar Cassia kepada Pertubuhan Buddhist Tzu-Chi Merits Malaysia bagi tujuan pembangunan institusi. Perjanjian ini telah ditandatangani pada 26 Jun 2019 dan dijangka siap pada tahun 2034; dan
* Projek Kolaborasi Pembangunan Taman Perindustrian seluas 558.96 ekar di Changkat Byram kepada UMECH Land Sdn. Bhd. bagi tujuan taman perindustrian dan pembangunan bercampur. Perjanjian ini telah ditandatangani pada 27 September 2023. Namun, perjanjian ini ditamatkan berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Lembaga PDC Bil. 4/2023 pada 16 Oktober 2023.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR