SUNGAI BAKAP – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa setakat 11 pagi tadi, beliau berpuas hati dengan perjalanan hari pembuangan undi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Sungai Bakap yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini.
Respons itu disampaikan seusai melawat Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap pada 6 Julai 2024.
“Saya bersyukur proses pengundian berjalan dengan lancar.
“Saya sudah melawat empat pusat mengundi, rata-rata berjalan licin (yang mana) tiada perhimpunan orang terlalu ramai dan tiada kempen pada saat akhir.
“Saya rasa (hari pembuangan undi yang dikendalikan oleh SPR) amat baik,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam sidang media berkaitan di sini tadi.
Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang memberitahu hahawa peratusan keluar mengundi sehingga 11 pagi tadi adalah kira-kira 24.5 peratus.
“Saya berasa (pola keluar mengundi) masih normal, kalau pengundi boleh keluar lebih awal, bagus lah.
“Masih ada ramai yang belum keluar mengundi, jadi, dengan kesempatan masa yang ada, semua pengundi KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) Sungai Bakap, keluarlah mengundi,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Turut serta, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye yang juga ADUN Jawi; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee.
Buletin Mutiara difahamkan, sejak 10 pagi tadi, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi telah melawat empat pusat mengundi iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng; Sekolah Tun Syed Sheh Barakbah dan SK Sungai Bakap.
Sebagai rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap mempunyai 39,222 pengundi biasa yang mempunyai ruang mengundi, sama ada calon Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin mahupun calon pembangkang Pulau Pinang.
Bermula jam 8 pagi tadi, masa pembuangan undi sehingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan oleh SPR.