Ketua Menteri gembira Pesta Durian 2022 di Jawi kian meriah

Admin
KETUA Menteri dengan diiringi barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain menyempurna acara Majlis Sambutan Musim Durian 2022 di Jalan Besar Valdor di sini pada petang tadi.

JAWI – Durian jenis duri hitam atau ‘Orchee’ yang terkenal serta banyak terdapat di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi menjadikan Sambutan Musim Durian 2022 kini kian meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Semasa merasmikan majlis sambutan tersebut, Ketua Menteri , Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa Encik Leow Cheok Kiang selalu tuan rumah acara berkaitan merupakan individu pertama yang menanam durian jenis duri hitam di sini pada beberapa tahun lepas.

“Beliau (Cheok Kiang) telah mendapat johan dalam pertandingan durian yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Pulau Pinang pada tahun 2013 dan 2014.

“Bukan sahaja mendapat johan, tetapi duriannya juga memenangi (gelaran) ‘Raja Segala Raja’ iaitu suatu pencapaian yang begitu membanggakan.

“Bagi musim durian kali ini, saya pasti sambutan yang diterima adalah amat baik,” jelasnya dalam majlis promosi dan sambutan berkaitan di lot komersial milik Cheok Kiang sendiri dekat Jalan Besar Valdor di sini pada 16 Jun 2022.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam mempromosikan durian jenis duri hitam sebagai salah satu jenama durian Pulau Pinang serta sama terkenal seperti ‘Durian Balik Pulau’.

Mereka yang terlibat, menurut Kon Yeow, termasuk Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee semasa menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi beberapa tahun lepas yang mana berjaya menganjurkan Festival Durian di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut menzahirkan rasa gembira dengan semua pemegang taruh dalam industri durian di Pulau Pinang yang saling bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam memastikan jualan serta harga pada musim kali ini tidak membawa kesan negatif kepada semua pihak.

Selain Lip Chee, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihan, Dr. Norlela Ariffin; ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri; ADUN Sungai Bakap merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ir. Baderul Amin Abdul Hamid antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR