Ketua Menteri gesa SPAN siasat punca gangguan air Pulau Pinang, Kedah

Admin
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan seusai melawat Rumah Pam Lahar Tiang PBAPP di sini pada 15 Mei 2023.

PINANG TUNGGAL – Kerajaan Negeri mengesyorkan supaya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)  membuat siasatan penuh berhubung punca sebenar di sebalik kejadian paras Sungai Muda susut secara mendadak pada Sabtu lepas hingga menjejaskan 400,000 akaun pengguna di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian dalam sidang media berkaitan seusai lawatan ke Rumah Pam Lahar Tiang yang diselia di bawah agensi negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di sini pada 15 Mei 2023.

“Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, saya mahu SPAN melakukan suatu siasatan penuh terhadap kejadian ini.

“Kita ingin tahu sebab sebenar kejadian sedemikian telah mengakibatkan 400,000 akaun pengguna terkesan dengan terputusnya bekalan air.

“Apabila tidak dapat mengabstrak air di sini (muka sauk di Rumah Pam Lahar Tiang), LRA Sungai Dua juga terkesan, dan air (mentah dari Sungai Muda) tidak dapat dirawat untuk dibekalkan kepada pengguna,” tegasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi di sini tadi.

KETUA Menteri (kanan sekali) bersama-sama tiga pemimpin Kerajaan Negeri lain saling berbincang seusai membuat meninjau keadaan semasa di Sungai Muda di sini tadi.

Semalam, Menteri Besar Kedah dilaporkan berkata bahawa gangguan bekalan air di Kedah dan sebahagian negeri Pulau Pinang adalah berpunca daripada kerosakan mekanikal pada sensor automatik baraj Sungai Dua.

Menurut laporan berkaitan, beliau menyatakan bahawa kerosakan mekanikal tersebut mengakibatkan salah satu pintu air terbuka sendiri dan melepaskan air mentah Sungai Muda ke laut dalam kuantiti yang banyak tanpa sekatan. Malah, keadaan yang terjadi itu mengakibatkan paras air susut secara mendadak sekali gus menjejaskan muka sauk beberapa LRA termasuk di Sungai Petani dan Pinang Tunggal.

Memetik laporan berita berkenaan, Kon Yeow memberitahu bahawa gesaan SPAN untuk membuat siasat penuh berwajib adalah wajar memandangkan Menteri Besar Kedah telahpun memberikan ‘gambaran’ di sebalik kejadian tersebut.

“Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) mahu siasatan ini dilakukan bukan kerana cuma 400,000 akuan pengguna di Pulau Pinang terkesan, namun di sebelah (negeri) Kedah juga lebih 200,000 akaun pengguna turut terkesan dan LRA (Sungai Petani) juga perlu henti operasi kerana tidak ada air mentah untuk dirawatkan.

“Ada satu soalan kita lihat – dengan satu pintu (air) tidak berfungsi, sudah menjejaskan begitu banyak akaun pengguna yang mungkin melibatkan kira-kira satu atau dua juta orang, mungkin dilihat tidak penting tetapi sangat penting (untuk disiasat oleh SPAN).

“Jadi, SPAN perlu melakukan siasatan ini dan memastikan kejadian sedemikian tidak berlaku lagi,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Di samping itu, Kon Yeow turut menggesa SPAN supaya memerintahkan pihak berwajib sama ada di Pulau Pinang mahupun di negeri Kedah supaya membuat semakan semua sistem pada baraj di sepanjang Sungai Muda ini.

Sebelum itu, Kon Yeow menyatakan bahawa sehingga 11.30 pagi tadi, PBAPP dalam laporannya mengesahkan bahawa operasi mengabstrak sumber air mentah di Rumah Pam Lahar Tiang di sini kembali pada keadaan asal, mencapai kira-kira 83 peratus.

Ini, menurut beliau adalah berikutan langkah cegah rintang PBAPP semalam melepaskan air mentah dari Empangan Mengkuang bagi menaikkan paras air Sungai Muda serta mengelak risiko gangguan pengoperasian LRA Sungai Dua.

“Air (mentah) dari Mengkuang adalah untuk mendepani krisis air yang luar biasa, oleh itu semalam apabila didapati LRA (Sungai Dua) ini akan terkesan, maka keputusan melepaskan air dari (Empangan) Mengkuang sudah dilakukan.

“Walaupun pengoperasian abstak air di sini (Rumah Pam Lahar Tiang) mencapai 80 peratus, tambah dengan air dari (Empangan Mengkuang) membolehkan LRA Sungai Dua beroperasi dengan 100 peratus (kapasiti) dan kembali seperti biasa.

“Tetapi, untuk air (terawat) sampai kepada pengguna, ia akan mengambil sedikit masa dan perlu melalui proses normalisasi,” katanya sambil memberitahu bahawa kadar pemulihan air kepada pengguna di Seberang Perai dan bahagian Pulau masing-masing telah mencapai 90 peratus.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD