Ketua Menteri harap Chingay dapat berkembang di seluruh Malaysia serta Asia Tenggara

Admin

BAGAN DALAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap seni Chingay dapat dikembangkan lagi di negeri-negeri lain di Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perarakan Chingay Pulau Pinang 2019 Ke-11 dekat Padang Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jalan Bagan Luar di sini malam tadi.

“Perarakan Chingay merupakan pertunjukan rakyat dan budaya seni tempatan, justeru saya berharap ianya dapat dikembangkan ke lain-lain negeri lain di dalam negara ini, malah juga ke peringkat Asia Tenggara.

“Justeru, kita memerlukan sokongan serta penglibatan semua pihak bagi mencapai hasrat dan aspirasi ini,” serunya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin merangkap Pengerusi Majlis Perarakan Chingay Negeri Pulau Pinang; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; ADUN Bagan Dalam, M. Satees dan Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng.

Difahamkan, perarakan sama telah berlangsung di bahagian pulau melibatkan penyertaan  seramai 36 pasukan minggu lalu di Padang Kota.

“Malam ini, kira-kira 40 pasukan terdiri daripada 1,300 peserta mengambil bahagian dalam perarakan sejauh 4.5 kilometer dan bakal mengambil masa sekitar dua jam,” jelasnya.

Perarakan kali ini bermula dari Padang MBSP melalui Jalan Telaga Air dan Jalan Raja Uda kemudian terus ke Tow Boo Kong Temple, Butterworth.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS