Ketua Menteri harap dua projek infrastruktur Zenith lancar, dapat tangani trafik sesak kelak

Admin
c2676037 a5db 451d a38a c99570e04d75 KETUA Menteri (dua dari kiri) diiringi Zairil Khir Johari (kiri zekalı) diperkenan untuk berjabat tangan dengan Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Maha Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Zenith di Hotel Eastern & Oriental, George Town pada 7 April 2025.

GEORGE TOWN – Projek pembinaan laluan pintas dari Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam yang dilaksanakan oleh Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (Zeninth) kini mencapai tahap pemajuan 75 peratus dengan kerja-kerja fizikal dijangka siap pada hujung tahun ini.

Dalam pada itu, Laluan Berkembar Persisir Pantai Utara atau ‘North Coastal Paired Road’ dari Tanjong Bunga ke Teluk Bahang yang dicadangkan oleh konsortium tersebut kini pada peringkat pemuktamadan perjanjian sampingan (Sub-Agreement) yang mana kerja-kerja fizikal dijangka dimulakan pada awal tahun 2026 atau penghujung tahun ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyampaikan sembah ucapan tersebut di depan Duli Yang Maha Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Zenith di sini pada 1 April 2025.

“Kedua-dua lebuh raya bebas tol yang sedang dibangunkan ini akan memberi kesan signifikan dalam mengurangkan tempoh perjalanan dari Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam daripada 40 minit kepada hanya lima minit, sementara Pakej 1 dari Tanjung Bunga ke Teluk Bahang daripada 45 minit hingga sejam kepada hanya tujuh minit sahaja.

“(Justeru,) kerjasama kukuh serta sinergi antara semua pihak adalah amat penting bagi memastikan projek-projek pembangunan dan infrastruktur yang sedang dijalankan di negeri ini, dapat dilaksanakan dengan jayanya mengikut garis masa ditetapkan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut merakamkan penghargaan kepada Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital, Zairil Khir Johari serta pasukannya dari Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Penang Infrastructure Corporation (PIC) serta agensi berkaitan yang terlibat dalam menjayakan dwi projek tersebut.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, terutamanya dalam menangani isu berkaitan pengambilan tanah persendirian serta Persekutuan, hal-hal berkait keselamatan dan juga kelestarian alam sekitar,” ujarnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri.

Selain itu, Kon Yeow turut memberi penjelasan lanjut berkaitan hasil perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Zenith iaitu meminda laluan Pakej 4 Laluan Ketiga Pulau Pinang serta syor penambahbaikan jaringan trafik di sekitar Gurney Drive yang mana telah memperoleh kelulusan dan dilihat lebih fleksibel dalam menangani masalah kesesakan sedia ada kini.

Presiden Pembangunan dan Projek Zenith, Ar. Lim Hooi Kooi dalam ucapannya sebelum itu turut menzahirkan penghargaan atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tunku Shazuddin Ariff mencemar duli untuk hadir ke majlis rumah terbuka di sini.

Selain Zairil, hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Zakuan Zakaria; Pengarah Urusan Zenith, Tan Sri Dato Dr. Khor Eng Chuen; Pengarah Zenith, Puan Sri Datin Ginney Chew.

Dalam sidang media bersama-sama Kon Yeow selepas itu, Zairil memberitahu bahawa Pihak Berkuasa Negeri masih dalam proses rundingan dengan semua pemegang taruh bagi laluan Pakej 4 Laluan Ketiga Pulau Pinang, iaitu Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT).

“Kita perlu mendapatkan persetujuan (Suruhanjaya) Pelabuhan Pulau Pinang (dan) persetujuan NBCT yang mana kita akan kemas kini (maklumat berkaitan) apabila ada nanti,” ulasnya yang juga ADUN Tanjong Bunga.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN