Ketua Menteri harap Galeri Arkeologi Guar Kepah akan lengkapkan peta laluan arkeologi Utara Semenanjung Malaysia

Admin
e90da6f6 1599 4525 ba1d c04f7c45b741 DI Galeri Arkeologi Guar Kepah

PENAGA – Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) melihat Galeri Arkeologi Guar Kepah yang bakal dibuka kelak bakal melengkapkan peta pelancongan arkeologi wilayah utara Semenanjung meliputi negeri Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

e365cd92 6988 4935 911e 9356a6321277
KETUA Menteri

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peta pelancongan arkeologi berkaitan boleh dipakejkan dan dijenamakan sebagai ‘Laluan Arkeologi Utara (Semenanjung Malaysia).

“Orang tidak datang untuk melihat (Galeri Arkeologi) Guar Kepah sahaja, kalau berminat, boleh menghabiskan ‘Laluan (Arkeologi Utara) melibatkan Kedah, Perak dan Pulau Pinang yang mana menghabiskan masa beberapa hari di kawasan-kawasan ini,” jelasnya selepas melawat Galeri Arkeologi Guar Kepah di sini pada 29 September 2024.

Turut serta, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Barathi; Pengarah Pelaksana Projek NCIA, Muhammad Fazlullah Abdul Aziz; Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Ooi Yong Wooi.

c006529e 6e85 45a0 bd02 fb91b2b14403
KETUA Menteri (depan sekali, tengah) diberi taklimat di Galeri Arkeologi Guar Kepah di sini tadi.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya berharap pembukaan galeri tersebut kepada orang awam bukan sahaja menambah nilai kepada industri pelancongan negeri, sebaliknya juga kerja-kerja penyelidikan serta pendidikan di tapak kajian arkeologi sekitar Guar Kepah.

“Nilai pelancongan ini adalah (nilai) yang baru, tetapi lebih penting adalah tapak kajian yang menunjukkan sejarah penempatan zaman dahulu yang akan menarik (minat) pengkaji-pengkaji, ahli akademik dan pelajar untuk melihat pada aspek pendirian serta kajian berkaitan (di sini kelak),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Difahamkan, tapak arkeologi Guar Kepah seluas 0.97 hektar di sini merupakan tapak kajian arkeologi tertua di Semenanjung Malaysia yang direkodkan oleh ahli arkeologi British pada 1935.

Kerja-kerja ekskavasi sejarah awal dilakukan oleh Van Stein Callenfels pada tahun 1934-1936 dan telah menemui bukti-bukti kehidupan Orang Asli suku Semang seperti tulang manusia, sisa makanan, serpihan seramik, alatan batu dan sebagainya.

Guar Kepah juga merupakan tapak penggalian pertama oleh pegawai British GW Earl pada tahun 1850, yang membawa kepada penemuan tulang-tulang manusia yang kini disimpan di Belanda.

Pada tahun 2010, kerja-kerja ekskavasi pertama secara sistematik di sini dilakukan oleh ahli arkeologi lokal dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM).

Pada tahun 2017, pemeriksaan lanjut oleh pasukan Pusat PPAG-USM yang diketuai oleh Prof. Datuk Dr. Mokhtar Saidin menemukan tengkorak manusia dan tulang rusuk, semuanya dipercayai dari Zaman Neolitik yang berusia kira-kira 5,000 tahun.

Projek pembinaan Galeri Arkeologi Guar Kepah mula dilaksanakan pada 14 Nov 2022, yang mana replika rangka-rangka manusia termasuk ‘Penang Women’ akan dipamerkan kepada pengunjung kelak.

Difahamkan, Perdana Menteri sendiri dijadualkan merasmikan Galeri Arkeologi Guar Kepah dalam tempoh terdekat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD