Ketua Menteri harap GTLF terus gamit artis, intelektual ke Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – George Town, sejak awal kurun ke-19 lagi telah membuat pelbagai penampilan dalam media barat, dengan kehadiran selebriti Hollywood seperti Orson Welles dan Rita Hayworth yang diketahui telah jatuh cinta dengan Pulau Pinang.

Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dengan sejarah negeri yang begitu kaya dalam pelbagai bidang, maka, tidaklah menghairankan apabila Pulau Pinang sentiasa dikenali sebagai antara pusat pertemuan dalam kalangan artis serta intelektual serantau.

“(GTLF) ini adalah satu-satunya perayaan di negara (Malaysia) yang menyediakan sesi syarahan, temu bual, perbincangan serta pembacaan sebagai persembahan utamanya, dan ia juga merupakan tempat paling selesa untuk membincangkan isu-isu global semasa, dengan penonton awam,” jelasnya ketika merasmikan acara Festival Sastera George Town (GTLF) 2019 bertemakan ‘Forewords Afterwords’ di LOFT 29 Gat Lebuh Gereja dekat sini pada 23 November 2019.

Turut berucap, Exco Peloncongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeow Soon Yin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terobong.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran turut berucap, mewakili Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran negeri (PCEB), Ashwin Gunasekaran serta dua Pengarah Bersama Festival bagi GTLF 2019, Pauline Fan dan Sharaad Kuttan.

Tambah Kon Yeow, GTLF kekal sebagai satu-satunya perayaan di Asia Tenggara yang membawa pulang Anugerah Festival Sastera dari London Book Fair.

“Selama bertahun-tahun, orang ramai telah pergi jauh dan berada di sini untuk menjadi sebahagian daripada perayaan ini.

“Dan, pada tahun ini, kami bangga menjadi tuan rumah kepada lebih 100 bakat dari seluruh dunia, sambil mempamerkan Pulau Pinang sebagai tempat yang menawarkan persekitaran sempurna untuk minda sastera yang menyerlah di dunia, untuk mengumpul serta bertukar pengetahuan.

“Saya harus mengatakan bahawa saya sangat bangga dengan bagaimana GTLF telah berkembang menjadi salah satu perayaan sastera terkemuka di dunia, dan kini merupakan daya tarikan penting pelbagai latar belakang di rantau Asia Tenggara,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Sebelum itu, Abang Sallehuddin menyatakan bahawa GTLF dilihat antara program Kerajaan Negeri ke arah memupuk minat membaca buku dalam kalangan rakyat, yang sedang gigih diusahakan oleh Kementerian Pendidikan sendiri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : CHAN KOK KUAN