BAYAN LEPAS – Semasa kes positif COVID-19 yang direkodkan semalam di seluruh negara berjumlah 15,573 kes, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap kira-kira 30,000 kapasiti pemberian vaksin dekat semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam dan PPV Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di negeri ini dapat ditingkatkan menjadi 40,000 dos suntikan harian kelak.
Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke PPV PIKAS seliaan kilang Keysight Technologies Malaysia Sdn. Bhd. (Keysight) dekat Fasa 3 Kawasan Perindustrian Bayan Lepas di sini pada 24 Julai 2021.
Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah turut sertai sidang media tersebut.
“Untuk aduan rakyat yang menunggu dalam tempoh begitu lama sebagaimana telah saya sebut sebelum ini, pada awal bulan September ini, setiap populasi dewasa di Pulau Pinang sepatutnya memperoleh dos pertama suntikan manakala suntikan dos kedua akan dilengkapkan pada awal bulan Oktober, bergantung kepada pembekalan vaksin juga adalah mencukupi.
“Kita (Pulau Pinang) juga sedang meningkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada antara 35,000 hingga 40,000 suntikan sehari, berdasarkan kepada jangkaan serta pengiraan semasa, sasaran ini mampu dicapai.
“Adalah tidak dapat dinafikan, di sebalik pemberian tiap-tiap suntikan (dos), terdapat kumpulan rakyat yang sedang berkerja keras untuk memastikan proses pemberian vaksin terus ditingkatkan,” ulasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.
Menurut portal Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), https://www.vaksincovid.gov.my, seramai 1,198,943 individu yang mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin menerusi aplikasi pintar MySejahtera adalah menyamai 87.7 peratus daripada populasi dewasa di negeri ini.
Menurut sumber sama, ketika ini, direkodkan seramai 571,164 individu atau 32.2 peratus populasi dewasa di Pulau Pinang telahpun menerima suntikan dos pertama.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Kon Yeow sekali lagi menyatakan harapan agar mereka yang berkenaan sesegera mungkin mendapatkan janji temu berkaitan untuk lengkap mendapat dua dos suntikan, seterusnya membolehkan status Pulau Pinang beralih dengan lebih awal ke Fasa tiga Pelan Pemulihan Nasional (PPN).
“Kita (Kerajaan Negeri) berharap Pulau Pinang lebih cepat beralih ke fasa tiga PPN (setelah mencapai syarat ketiga nilai ambang iaitu kadar vaksinasi COVID-19 mencecah 40 peratus),” ujarnya.
Bercakap pada sidang media sama sebelum itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dato’ Dr. Asmayani Khalib merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow kerana memberi sokongan sepenuhnya kepada pihaknya dalam menjayakan pelan-pelan cadangan berkaitan program vaksinasi selama ini.
“Untuk rekod, sehingga semalam, kita (populasi dewasa di negeri Pulau Pinang) telahpun mencapai 80 peratus, manakala dos pertama hampir 40 peratus.
“Justeru, kita harap Pulau Pinang dapat cecah lebih 40 peratus pada pertengahan atau minggu ketiga bulan Ogos.
“Saya berharap mereka yang masih belum memohon vaksin (menerusi MySejahtera), terutama yang berusia lebih 60 tahun, sila tampil ke hadapan menghubungi kita (JKNPP).
“Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri yang senantiasa memberi semangat, hingga membuatkan kami (anggota barisan utama kesihatan negeri) bekerja dengan kuat lagi demi memberikan perkhidmatan kesihatan awam terbaik untuk rakyat Pulau Pinang,” jelasnya.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Perbadanan Keysight Technologies merangkap Presiden Keysight Technologies Malaysia & Singapura, Datuk Gooi Soon Chai memberitahu bahawa PPV PIKAS di kilang berkenaan dibuka sejak semalam.
Beroperasi lapan jam sehari selama seminggu dengan kapasiti pemberian suntikan harian sebanyak 780 dos, Soon Chai berkata bahawa PPV PIKAS tersebut akan memberi vaksin kepada kira-kira 9,000 pekerja industri di 53 buah kilang serta firma sekitar negeri ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI