Ketua Menteri harap kempen tanaman hidroponik di pangsapuri dapat diperluaskan

Admin
KETUA Menteri (tengah) diiringi Lay Hock Peng (kiri) dan Mohd. Muhaimin Ibrahim (kanan) di tapak projek kempen tanaman hidroponik Pangsapuri Seri Serdang, Bertam pada petang tadi.

BERTAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap kempen bercucuk tanam dengan kaedah hidroponik yang diusahakan secara kolektif dalam kalangan penghuni Pangsapuri Seri Serdang di sini serta disokong oleh Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang berjaya dan akan menjadi contoh kepada kawasan perumahan berstrata yang lain.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa kempen seumpama ini sekali gus akan meningkatkan kawasan hijau di kawasan-kawasan awam penduduk lokal, jika berjaya dilaksanakan kelak.

“Satu-satu (kawasan perumahan berstrata) yang didiami oleh banyak keluarga, kita perlu memastikan ia dijaga dengan baiknya dari segi kebersihan.

“Saya begitu tertarik dengan kempen hidroponik ini, yang mana ia akan meningkatkan ruang hijau (serta) menjadi suatu lagi contoh yang berjaya untuk diikuti di kawasan-kawasan lain,” jelasnya dalam majlis berkaitan di sini pada 29 Julai 2022.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang di bawah Pengarahnya, Mohd. Muhaimin Ibrahim yang begitu banyak membantu bagi menjayakan kempen hidroponik atau tanaman secara bertingkat di kawasan perumahan berstrata di sini.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menyerahkan 20 set hidroponik mudah alih yang disediakan Jabatan Pertanian Negeri kepada Majlis-Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sekitar Parlimen Kepala Batas.

Selain Mohd. Muhaimin, turut serta ialah Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng dan beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Difahamkan, Projek Hidroponik Bersama-sama Komuniti Pangsapuri Seri Serdang merupakan antara acara di bawah Jerayawara Ketua Menteri dengan tema ‘❤️PENANG’ ke Kawasan Parlimen Kepala Batas pada hari ini.

GIMIK pelancaran Kempen ‘❤️ Penang’ dan Mural yang disempurnakan oleh Ketua Menteri (depan, tiga dari kanan) di Jeti Pantai Bisik, Penaga pada petang tadi.
ANTARA hasil mural yang dihasilkan oleh pelukis lokal di sini.

Dalam acara berasingan, jerayawara Kon Yeow turut melancarkan kempen ‘❤️ Penang’ dengan penglibatan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pelukis mural tempatan di Jeti Pantai Bisik dekat Penaga.

Pelancaran kempen di sini antara lain bertujuan memupuk semangat menghargai serta memelihara alam semulajadi dalam kalangan komuniti setempat, sekali gus mempromosikan lagi Pasar Bisik sebagai destinasi pelancongan negeri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD