Ketua Menteri harap kerjasama babit JPNPP, warga pendidik lebih erat

Admin
KETUA Menteri (tiga dari dari) dan Abdul Rashid Abdul Samad (kiri sekali) menyaksikan Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan senaskah Al-Quran Pimpinan Ar-Rahman kepada salah seorang wakil sekolah di sini pada 30 Mac 2023.

BERTAM – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menyampaikan 200 naskah Al-Quran Pimpinan AR-Rahman terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM27,000 untuk memudahkan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mata pelajaran tilawah dalam kalangan murid-murid terpilih sekitar Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya komited mengukuhkan kerjasama dengan warga pendidik di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang demi membina ekosistem pendidikan negeri.

“Bagi pihak pemimpin Kerajaan Negeri, kita komited dan akan terus konsisten dengan amalan pentadbiran berasaskan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

“Saya berharap hubungan dua hala ini dapat membantu kita semua untuk bergerak dalam satu kumpulan kuat sebagai persiapan untuk membina ekosistem pendidikan yang lebih baik serta memangkin lebih banyak kecemerlangan anak-anak kita pada masa akan datang,” ujarnya dalam Majlis Iftar Bersama-Sama Warga Pendidik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Utara (SPU) di sini pada 30 Mac 2021.

Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri turut menjalankan program tuisyen secara percuma dengan penglibatan lebih 3,000 pelajar berlandaskan aspek pembangunan modal insan yang penting di Pulau Pinang.

Tidak setakat itu sahaja, menurut beliau, Kerajaan Negeri juga melancarkan ‘Penang Internship Programme’ iaitu program insentif kepada pelajar (intern) mengikuti latihan dengan syarikat-syarikat tempatan.

Sebelum acara berbuka puasa, Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad turut berucap pada majlis tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga ADUN Pinang Tunggal menyempurnakan acara serahan tangan naskah Al-Quran Pimpinan Ar-Rahman kepada wakil-wakil sekolah terbabit sekitar SPU.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS