Ketua Menteri harap Klinik Kesihatan Bandar Tasek Mutiara siap ikut jadual, 2026

Admin
5ec81708 39f9 48fd a518 eb189a53817c KETUA Menteri sempat meluangkan masa mendapatkan maklum balas pengunjung semasa melawat Klinik Kesihatan Sementara Bandar Tasek Mutiara dekat Aras 1 Pasar Raya C-Mart di sini pada pagi tadi.

SUNGAI BAKAP – Projek pembinaan semula Klinik Kesihatan Bandar Tasek Mutiara yang tertangguh sebelum ini di atas sebidang tanah lapang bertentangan XCL International School Penang di sini, diharap dapat siap mengikut jadual pada tahun 2026.

 

a0dfa61b 9922 4c6c bdf2 e558f389e04a
KETUA Menteri (tengah) dalam sidang media berkaitan di sini bersama-sama Daniel Gooi Zi Sen (kanan) dan Goh Choon Aik (kiri) menjelang tengah hari tadi.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian selepas melawat ke Klinik Kesihatan Sementara Bandar Tasek Mutiara di Aras 1, Pasar Raya C-Mart dekat sini pada 25 Jun 2024.

“Projek (pembinaan semula Klinik Kesihatan Bandar Tasek Mutiara), diharap dapat disiapkan seperti yang dinyatakan pada tahun 2026.

“Masalah besar, kalau siap pun projek ini, sebenarnya kapasiti Klinik Kesihatan mungkin tidak dapat menampung populasi (penduduk) kian naik, yang mungkin memerlukan sebuah lagi Klinik Kesihatan di lokasi lain supaya beban (lambakan pesakit semasa) boleh diratakan atau diagihkan,” ujarnya seusai diberi taklimat ringkas berhubung pengoperasi serta cabaran semasa di klinik kesihatan sementara tersebut di sini tadi.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow memberitahu peningkatan populasi penduduk semasa di kawasan Parlimen Batu Kawan ketika ini memungkinkan di sini tidak memerlukan lagi sebuah hospital kerajaan baharu.

“Saya rasa belum sampai ke tahap memerlukan sebuah KK (Klinik Kesihatan) tetapi seperti YB Goh Choon Aik (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Bukit Tambun) kata, sebarang perancangan adalah jangka panjang.

“Kalau anggaran populasi penduduk yang diunjurkan akan naik, maka perancangan perlu awal.

“Anehnya, kita memang ada projek ‘Medical City’ di (bandar baharu) Batu Kawan, tetapi itu kemudahan swasta dan belum mula (kerja-kerja tanah),” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Gooi Zi Sen berkata pihaknya mengambil maklum mengenai isu lambakan pesakit harian ke Klinik Kesihatan Sementara Bandar Tasek Mutiara yang ketika ini secara purata kira-kira 800 orang.

“Betul, populasi penduduk meningkat tetapi sekiranya gaya hidup yang lebih sihat dapat diterapkan pada peringkat komuniti – seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) – saya percaya itu adalah cara paling baik (untuk menangani isu lambakan pesakit kian meningkat ke Klinik Kesihatan),” katanya yang juga ADUN Padang Lalang.

Selain itu, beliau turut memberitahu mengenai status pembinaan Klinik Kesihatan Taman Tasek Mutiara yang ketika ini dikatakan telah mencapai tahap pemajuan kira-kira 50 peratus.

“Pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) telah menjalankan kerja-kerja tender semula, (proses) pengiklanan telahpun dilengkapkan (yang mana) kita jangka pada bulan Ogos nanti SST atau Surat Setuju Terima akan dikeluarkan supaya ada kontraktor baharu akan masuk (tender) bagi menyempurnakan projek (bina semula Klinik Kesihatan Bandar Tasek Mutiara),” katanya lagi.

Sebelum itu, rombongan Kon Yeow dimaklumkan bahawa purata lambakan pesakit harian ke Klinik Kesihatan Sementara Bandar Tasek Mutiara kira-kira 800 orang, dengan 92 orang nisbah kepada seorang doktor perubatan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD