Ketua Menteri harap lebih banyak pelabur Korea ke Pulau Pinang selepas Simmtech

Admin
KETUA Menteri (depan, kanan sekali) diiringi yang lain semasa acara melawat kemudahan di kilang tersebut di sini pada tengah hari tadi.

BUKIT TAMBUN – Simmtech, sebuah firma semikonduktor pembuatan global yang berpengkalan di Korea Selatan menerusi anak syarikatnya, Sustio Sdn. Bhd. (Sustio) hari ini secara rasmi membuka operasi kilang baharu di Taman Perindustrian Batu Kawan di sini.

Semasa menyampaikan ucapan perasmian, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow antara lain berharap dengan pembukaan industri tersebut, ia akan mendorong lebih banyak lagi pelaburan langsung asing (FDI) dari negara Republik Korea ke Pulau Pinang.

Di samping itu, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut merakamkan penghargaan kerana Sustio pada Mei tahun lepas telah mengumumkan untuk melabur kira-kira RM600 juta di negeri ini.

KETUA Menteri (kanan) dan Jeffery Chuan dalam sidang media berkaitan di sini.

“(Dengan kemasukan pelaburan tersebut), saya difahamkan bahawa Sustio telah mengambil kira-kira 700 pekerja dan dijangka meningkat kapasiti guna tenaga buruh penuh sehingga 1,000 orang pada tahun tahun ini.

“Sesungguhnya, Pulau Pinang merupakan destinasi penting sektor pembuatan terutamanya untuk produk elektrik dan elektronik di Malaysia, dan merupakan antara hub paling rancak di seluruh dunia dengan menyumbang lebih 5 peratus jualan semikonduktor global.

“Dengan jolokan sebagai ‘Lembah Silikon Timur’, saya berharap ekosistem perindustrian Pulau Pinang akan terus kukuh dan serta terus menarik minat pelabur domestik serta pelabur asing ke negeri ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong pada majlis berkaitan pada 9 Mei 2022.

BARISAN tetamu kehormat utama semasa majlis perasmian pembukaan kilang di sini tadi.

Difahamkan, Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan perkilangan paling tinggi bagi tahun 2021 iaitu sebanyak RM76.2 bilion.

Daripada segi pelaburan ke Pulau Pinang pula, 98 peratus adalah FDI, yang mana negeri ini menjadi penerima FDI paling besar negara dengan jumlah kemasukan sebanyak 41 peratus pada tahun lepas.

Duta Republik Korea ke Malaysia, Lee Chi Beom; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lim Bee Vian; Naib Presiden Kanan Micron Technology, Gursharan Singh dan Pengarah Urusan Simmtech Rantau Asia Tenggara, Jeffery Chuan turut berucap pada majlis perasmian pembukaan industri tersebut di atas tanah kilang seluas 18 ekar di sini.

Hadir sama, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik, Penasihat Khas Ekonomi Ketua Menteri, Dato’ Seri Lee Kah Choon; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang, Dato’ Loo Lee Lian; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBPP), Baderul Amin Abdul Hamid, dan Pengerusi Simmtech Sdn. Bhd., Chun Se Ho.

Pada sidang media selepas itu, Jeffery Chuan memberitahu bahawa pihaknya memilih Pulau Pinang kerana negeri ini mempunyai sistem rantaian bekalan yang mudah serta mencukupi, di samping mempunyai tenaga kerja mahir berkualiti.

Di samping melabur di negeri ini, tambah beliau, pada masa hadapan, pihaknya berharap dapat saling bekerjasama dengan ahli akademik serta institusi-institusi pengajian tinggi tempatan berkenaan demi kepentingan strategik secara bersama.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS