GEORGE TOWN – Buat julung kalinya, Program Literasi Digital diadakan dengan penglibatan 15 pelajar berusia 10 hingga 13 tahun, anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota di sini pada 7 Oktober 2023.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota berharap inisiatif tersebut akan meningkatkan literasi digital dalam kalangan peserta berkenaan.
“Saya berharap anak-anak yang menyertai program khas ini dapat memanfaatkan peluang untuk memudahkan proses penyiapan tugasan, malah boleh juga diambil sebagai salah satu cara untuk mengasah ilmu dan bakat dalam bidang teknologi,” jelasnya dalam majlis berkaitan yang dilangsungkan di Hui Pak Tong Heong Hooi dekat Jalan Kedah di sini.
Buletin Mutiara difahamkan, para peserta program literasi digital tersebut akan didedahkan dengan 24 modul berkaitan yang disediakan oleh agensi negeri, Penang Tech Dome.
Mereka akan menjalani program tersebut selama dua sehingga tiga bulan iaitu satu jam 30 minit bagi setiap sesi pembelajaran, yang mana bergantung kepada keupayaan masing-masing dalam memahami serta menguasai teknik penggunaan perisian berkaitan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa Kerajaan Negeri sejak tahun 2017 menawarkan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang dikenali sebagai ‘Penang STEM ecosystem’ secara langsung di luar kokurikulum sekolah bagi melengkapkan pembelajaran secara teori di sekolah.
Tambah beliau, bagi tempoh Januari hingga Jun 2023 seramai 45,464 pelajar sekolah rendah dan menengah telah menyertai program, bengkel dan aktiviti yang dianjurkan oleh pusat-pusat STEM tersenarai seperti Penang Science Cluster (PSC), Tech Dome Penang, Karpal Singh Penang Learning Centre, aCAT Penang (@CAT), Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) dan Penang Digital Library.
Dalam acara berasingan, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan turut meluangkan masa beraksi menumbuk beras sempena Pertandingan Menumbuk Beras yang berlangsung di Kompleks Persatuan Hidayatul Islam di sini tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING