GEORGE TOWN – Peratusan kehadiran mereka yang ada janji temu di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) Negeri Pulau Pinang pada 19, 20 dan 21 April 2021 masing-masing direkodkan pada angka 83.4 peratus, 89 peratus dan 88 peratus.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata pihaknya berharap kehadiran penerima vaksin mengikut masa janji temu yang telahpun ditetapkan menerusi aplikasi pintar MySejahtera adalah kekal pada peratusan yang tinggi.
“Bagi saya, angka (peratusan kehadiran) ini adalah permulaan yang baik, 88 peratus dan 89 peratus, justeru ayuh kita terus tingkatkan kesedaran bagi meningkatkan lagi peratusan sedia ada,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang di Komtar pada 22 April 2021.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dato’ Dr. Asmayani Khalib; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) JKNPP, Dr. Rafidah Md. Noor; Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit JKNPP, Dr. Farzaana Adam turut sertai sidang media tersebut.
Menurut Kon Yeow, antara sebab mereka yang berkenaan tidak dapat hadir ke PPV negeri adalah keadaan kesihatan yang tidak sesuai, berubah fikiran untuk menerima vaksin, penerima berada di luar daerah atau negeri, serta ada juga yang gagal dihubungi oleh JKSNPP.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menjelaskan bahawa setakat ini tidak pernah lagi PPV negeri menghadapi bekalan tidak cukup untuk diberikan kepada warga emas yang berkenaan.
Di samping itu, beliau turut memberitahu bahawa aplikasi MySejahtera memberi pilihan kepada warga emas yang menghadapi masalah pengangkutan dengan menambah tanggungan vaksinasi (vaccination dependants) supaya memudahkan anak – sebagai pengiring – dapat membawa ibu bapa mereka ke PPV.
Selain itu, Kon Yeow turut menjelaskan bahawa mereka yang tidak dapat hadir ke PPV mengikut masa yang ditetapkan, hanya perlu tunggu tarikh baru dalam MySejahtera.
“Namun diingatkan, tarikh mungkin tidak dapat diberikan serta-merta kerana MySejahtera akan melakukan penilaian semula kepada penerima.
“Mereka tidak perlu membuat pendaftaran semula, namun nama akan dimasukkan semula dalam data penerima vaksin dan penilaian keutamaan akan dilakukan semula,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI