Ketua Menteri harap PIX tarik lebih banyak pelaburan industri teknologi tinggi

Admin
4a083c9c 30ec 4c4c 9a19 196a8bb7dc2f KETUA Menteri (empat dari kiri), Gobind Singh Deo (empat dari kanan), Zairil Khir Johari (tiga dari kiri) bersama-sama barisan pemimpin lain semasa Majlis Pelancaran Penang Internet Exchange (PIX) yang dikuasakan oleh DE-CIX di Hotel Jen, George Town pada 5 Januari 2023.

GEORGE TOWN – Penang Internet Exchange (PIX) yang disediakan oleh DE-CIX pada hari ini bukan sahaja akan mempercepatkan lagi jendela tukaran data digital dalam talian, malah juga menarik lebih ramai pelabur berkaitan industri berteknologi tinggi ke negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian dalam sidang media berkaitan seusai merasmikan Majlis Pelancaran PIC di sini pada 5 Januari 2023.

“Sebelum ini, tukaran data (exchange data) dari Pulau Pinang dan wilayah utara (Semenanjung Malaysia) juga perlu melalui tukaran internet di Kuala Lumpur dan Singapura.

“Maka, dengan penubuhan (PIX) ini, semua data di Wilayah Utara (Semenanjung Malaysia) akan disalurkan melalui (jendela) tukaran (data) di Pulau Pinang serta dapat memendekkan masa (pengantaraan dan penerimaan) data-data digital.

“Dengan kemudahan ini, kita (Kerajaan Negeri) harap dapat memperluas lagi ekosistem pelaburan kita…menarik lebih banyak pelaburan sejagat dalam sektor berteknologi tinggi,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

566da601 0e6d 4438 baae 22fa51131c21
KETUA Menteri (kiri sekali) dalam sidang media berkaitan di sini menjelang tengah hari tadi.

Menjawab soalan pemberita, Ahli Lembaga DE-CIX Malaysia, Wong Weng Yew menyatakan bahawa pihaknya memilih Pulau Pinang kerana di negeri ini dikenal pasti mempunyai begitu banyak aktiviti perniagaan serta pelaburan berteknologi tinggi, yang mana memang memerlukan perkhidmatan tukaran data digital paling pantas.

“Kami (DE-CIX Malaysia) bukan syarikat telekomunikasi (telco) atau penyedia perkhidmatan internet (ISP), sebaliknya adalah platform tukaran data (digital) kepada telco dan ISP, malah kita juga menawarkan perkhidmatan kepada firma perniagaan serantau,” ujarnya.

Di samping itu, Weng Yew memberitahu bahawa DE-CIX dalam tempoh 10 tahun melabur kira-kira RM20 juta demi pembangunan infrastruktur serta bakat tempatan berkaitan PIX ini.

Semasa menyampaikan ucapan perasmian sebelum itu, Kon Yeow berharap PIX yang dikuasakan oleh DE-CIX akan merevolusikan lagi kesalinghubungan serta mencorak landskap digital di negeri Pulau Pinang.

“PIX adalah wadah digital bertujuan memperkasakan lagi rakyat kita di samping berfungsi sebagai pemangkin kepada inovasi, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infrastruktur di negeri kita.

“Pertukaran trafik internet di negeri Pulau Pinang akan mengurangkan gangguan rangkaian kepada pengguna internet serta memastikan pengalaman dalam talian yang lebih pantas untuk semua rakyat Pulau Pinang,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Di samping itu, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mempromosi Penang Smart Parking (PSP) serta inisiatif- inisiatif pintar lain dalam sektor perkhidmatan awam kerana menyedari betapa perlu ‘kuasa’ perkhidmatan dalam talian atau digital.

“Di Pulau Pinang, 99.2 peratus rakyat kita adalah pengguna internet pada 2022, dan menurut penemuan PayNet, Pulau Pinang menerajui negara dengan kadar penembusan 90 peratus pembayaran digital setakat Oktober 2023.

“Statistik dan inisiatif ini menekankan penggunaan internet yang meluas di Pulau Pinang,” katanya sambil menyifatkan PIX adalah selari dengan Visi Penang2030 yang mahu memperkasa lagi kuasa rakyat di negeri ini.

Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo pula menyatakan bahawa dengan pelancaran PIX tersebut, ia sekali gus membuktikan usaha kolektif secara meluas peringkat kementerian, yang mana ia akan memangkin negara Malaysia ke era digital.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara, Selangor turut memberitahu bahawa Putrajaya senantiasa komited memajukan sambungan digital ke seluruh negara termasuk negeri Pulau Pinang menerusi inisiatif seperti Pelan Gentian dan Ketersambungan Kebangsaan (NFCP) dan Rangkaian Digital Nasional (Jendela) yang dilaksanakan sebelum ini.

Turut berucap, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digital Penang, Ts. Ng Kwang Ming. Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari yang juga ADUN Tanjung Bunga; CEO Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Ts. Mahathir Aziz.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD