Ketua Menteri harap PM pertimbang 10 projek keutamaan RMKe-13

f4758f12 a893 42b9 a41a b3798694dca6

BERTAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap 10 projek keutamaan yang disenarai pendek oleh pentadbirannya akan dipertimbang dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) nanti.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, salah satu projek keutamaan yang dimaksudkan adalah cadangan penaiktarafan Hospital Kepala Batas dekat Bertam.

0afeb46e 9411 47a1 8c91 9ce7225c857a
KETUA Menteri

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Penyediaan Bubur Lambuk dekat perkarangan parkir Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut di sini pada 15 Mac 2025.

“Daripada lebih 100 projek yang bernilai, mustahil semua projek yang dimohon dalam RMKe-13 itu dapat diluluskan.

“(Jadi,) kita (Kerajaan Negeri) sudah menyenaraipendekkan 10 projek keutamaan (yang mana) saya ada senaraikan Hospital Kepala Batas, saya harap Perdana Menteri akan memberi pertimbangan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota pada majlis berkaitan.

Dijangkakan, RMKe-13 akan dibentangkan pada suku ketiga tahun ini, sebagai kesinambungan pada RMKe-12 bagi tempoh tahun 2021 hingga 2025.

Kon Yeow memberitahu bahawa RMKe-13 akan dimuktamadkan pada tahun ini juga, dengan mengambil kira perancangan pelbagai pihak termasuk permohonan projek-projek infrastruktur yang dimohon oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut memuji kesungguhan ADUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam mempergiat hubungan perdagangan antara negara sekali gus melimpahkan kemakmuran pelaburan ke negeri Pulau Pinang.

7682e246 1ac6 4038 b09d fe189a00aae4
REEZAL Merican Naina Merican

Berucap sebelum itu, Reezal Merican merakamkan penghargaan kepada Pejabat Ketua Menteri kerana memilih Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut sebagai salah satu acara penganjuran program kacau bubur lambuk sempena Ramadan pada kali ini.

Beliau memberitahu bahawa program pada pagi ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa sokongan padu pelbagai pihak, antaranya, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Benggali, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Lahar Tabut, Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam; Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut dan akar umbi Umno Bahagian Kepala Batas.

Tambah Reezal Merican, Hospital Sungai Bakap, Hospital Seberang Jaya, Hospital Kepala Batas, Hospital Bukit Mertajam, Balai Polis Kepala Batas, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Permatang Binjai, MPKK Padang Benggali dan JPKKP Lahar Tabut masing-masing akan menerima 500 pek bubur lambuk; sementara baki 1,000 bekas bubur lambuk lain akan diagihkan kepada penduduk lokal.

Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Penaga, Ustaz Mohd. Naim Salleh; Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai program tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS