Ketua Menteri harap projek baiki bumbung, cat semula blok pulihkan imej Taman Pelangi

Admin
KETUA Menteri (depan, tengah) bersama-sama barisan pemimpin lain semasa lawatan tapak projek pembaikan kritikal bumbung dan pengecatan semula blok Taman Pelangi di sini pada 5 Mac 2023.

BUKIT TENGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji inisiatif bersama antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Perbadanan Pengurusan (MC) Taman Pelangi dalam melaksanakan kerja-kerja pembaikan kritikal bumbung serta pengecatan semula bangunan berstrata di sini.

KETUA Menteri menyampaikan ucapan ringkas dalam majlis berkaitan di sini tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata bahawa pemilik serta penyewa unit kediaman di sini diseru untuk turut memberi kerjasama kepada usaha-usaha MC dalam memulihkan semula imej Taman Pelangi sebagai kawasan kediaman bersih, selamat dan selesa pada masa hadapan.

“Pelbagai program gotong-royong dan program kesedaran boleh diadakan demi memupuk semangat kejiranan.

“Apabila kita sayang tempat tinggal kita, maka kita akan memikul tanggungjawab sedemikian,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam majlis berkaitan sebelum melawat tapak projek tersebut di sini pada 5 Mac 2023.

Hadir sama, ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung dan beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Buletin Mutiara difahamkan, PDC sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Pulau Pinang pada tahun 1992 telah membangunkan 23 blok rumah pangsa lima tingkat yang keseluruhannya terdiri daripada 1,720 unit kediaman jenis Kos Rendah (KR).

Pada tahun 2015, PDC telah menyerahkan kerja-kerja penyelenggaraan kesemua blok rumah pangsa tersebut kepada empat MC.

ROSLAN Hassan memberikan taklimat ringkas berkaitan projek tersebut tadi.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PDC, Roslan Hassan pada majlis sama memberitahu bahawa kos bagi kerja-kerja pengecatan kesemua 23 blok Taman Pelangi adalah RM988,000 yang mana RM798,400 atau 80 peratus adalah CSR PDC, manakala baki RM199,600 ditanggung oleh MC.

“Bagi kerja-kerja pembaikan kritikal bumbung 21 blok Taman Pelangi pula, kos keseluruhan adalah sebanyak RM890,000 yang mana RM712,000 adalah di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) PDC, sementara baki 20 peratus atau RM178,000 ditanggung oleh MC.

“Kerja-kerja pembaikan bumbung yang bermula pada 15 Julai 2021 telah siap lebih awal pada 14 Februari 2023, walaupun jangkaan kerja siap bertarikh 14 Mac 2023.

“Malah, bagi kerja-kerja pengecatan semula bermula pada 10 Februari 2023 dengan jangkaan kerja siap pada 9 Disember 2023,” ulasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : DARWINA MOHD. DAUD