Ketua Menteri harap projek pintu gerbang tambah tarikan pelancongan ke Little India

Admin
JERAYAWARA Ketua Menteri dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain di Little India, George Town pada tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Projek pembinaan pintu gerbang ‘Little India’ yang dijangka siap pada pertengahan bulan November ini akan menambahkan lagi daya tarikan pengunjung tempatan dan pengembara antarabangsa ke Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa projek rejuvenasi tersebut melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM588,226.40 dan akan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Projek pintu gerbang ini adalah (projek) yang patut dilaksanakan apabila Little India dinaik taraf melalui projek keindahan sebelum tahun 2008 lagi.

“(Ini bermaksud) projek pengindahan Little India ini telahpun dilaksanakan pada masa itu, tetapi projek pembinaan pintu gerbang pada masa itu tidak dilaksanakan.

“(Sehubungan itu,) permohonan cadangan pembinaan pintu gerbang dibuat oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kaum India Malaysia Pulau Pinang adalah bagi tujuan pengindahan kawasan serta mewujudkan mercu tanda di Lebuh Pasar,” jelasnya semasa melawat tapak projek tersebut di sini pada 10 Oktober 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen serta Datuk Bandar bagi Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang turut sertai jerayawara tersebut.

Sebelum itu, Kon Yeow dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang lain turut mengikuti taklimat ringkas daripada Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran mengenai projek menaik taraf jalan di sepanjang Lebuh Pantai ke Lebuh Penang.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa projek yang menelan belanja RM405,555 itu melibatkan kerja-kerja meninggikan aras jalan sebanyak 200 milimeter (mm), penarafan tembok parit sedia ada dan membina laluan pejalan kaki baharu dengan kemasan ‘eurotiles’.

“Kita tahu bahawa masalah banjir kilat berlaku khususnya di depan kedai ‘rakan kita’ di kawasan ini, yang pada ketika itu tidak dapat ditangani ekoran pembinaan tempat parkir kereta bertingkat oleh MBPP.

“Tetapi dengan ikhtiar daripada MBPP, maka suatu reka bentuk difikirkan iaitu menaikkan paras jalan, memperbesarkan longkang-longkang tepi (jalan), dan pada masa sama menutup longkang berkenaan untuk mewujudkan ruang pejalan kaki yang baharu,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong sambil merakamkan penghargaan kepada MBPP kerana berjaya menyiapkan projek tersebut.

Sehubungan itu, beliau berharap projek penarafan jalan tersebut bakal membolehkan para pengunjung tempatan dan pengembara antarabangsa berjalan dengan lebih selamat dekat sekitar kawasan komersial di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS