Ketua Menteri harap semua projek fizikal Pusat dapat dilaksana sebagaimana dirancang

GEORGE TOWN – Pengarah Pembangunan Negeri Pulau Pinang Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri baharu, Azman Ibrahim hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di pejabatnya di sini.

Dalam pertemuan selama 30 minit tersebut, beberapa perkara berkaitan perancangan, pembangunan dan projek fizikal di bawah pemantauan unit berkenaan menjadi topik perbualan utama.

Pada kesempatan itu juga, Kon Yeow berharap semua projek fizikal bawah Kerajaan Pusat di negeri ini dapat dilaksanakan sebagaimana dirancang.

“Sebenarnya, lebih banyak projek Kerajaan Pusat di negeri ini kerana projek fizikal (Kerajaan) Negeri kebanyakannya hanya berskala kecil.

“Justeru, adalah diharap ia dapat dipantau rapi agar tiada projek sakit,” ujarnya.

Azman dalam reaksi spontannya menyatakan komitmen beliau untuk memantau secara dekat semua projek pembangunan di bawah ICU JPM di negeri ini dalam memastikan semua perancangan mengikut jadual.

“Saya berharap dapat menjalinkan kerjasama erat dan mendapat sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang demi kepentingan rakyat,” ulasnya.

Azman yang menggalas amanah secara rasmi pada 19 Oktober lalu sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Dasar dan Antarabangsa di Kementerian Kerja Raya (KKR).

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING